Kami bersyukur kerana telah selesai rukun haji yang utama iaitu Wukuf di Arafah sebagaimana sabda Rasulullah saw "Alhajju Arafat" yang bermaksud Haji itu wukuf di Arafah. Walaupun agak keletihan, kami masih bersemangat meneruskan pengembaraan kami ke Muzdalifah. Kami menaiki shuttle bas lebih kurang pukul 8 malam dan tiba hanya beberapa minit kemudian kerana jarak antara Arafah dan Muzdalifah hanya 7 km melalui laluan yang dikhaskan iaitu Jalan Taraddudiyyah yang dikhaskan untuk jemaah haji Asia Tenggara.
Apabila kami tiba, kami terus mencari tempat yang sesuai dan berehat berbumbungkan langit. Kawasan Muzdalifah yang sepi sepanjang tahun mulai dipenuhi dengan umat manusia yang datang bermabit samada hanya seketika ataupun sehingga terbit fajar. Bagi kami jemaah Ash-Har, kami berpeluang bermabit hingga lebih kurang jam 3 pagi. Setelah berehat dan mengalas perut dengan bekalan yang diberikan oleh pihak Muasasah, kami mula mengutip anak2 batu bagi melontar di jamarat. Kami mengutip 70 biji batu kerana kami dimaklumkan akan melakukan Nafar Thani dan dikehendaki berada di Mina hingga 13 Zulhijjah; bermakna kami perlu bermalam selama 4 hari.
Kami sempat melelapkan mata sementara menunggu giliran kami menaiki bas ke Mina. Sejurus selepas tengah malam, kami dikejutkan oleh petugas dan diminta bersedia untuk menaiki bas. Kami menunggu agak lama, hampir satu jam setengah dan hanya menaiki bas dalam pukul 3 pagi. Keadaan agak sesak dengan jemaah dari lain2 travel agent yang bermabit di kawasan laluan menaiki bas sehingga tiada tempat untuk kami duduk membuatkan kami terpaksa berdiri lebih dari sejam. Ada jemaah yang hanya duduk berhimpit2 sepanjang bermabit kerana ketiadaan tempat untuk berehat. Semua ini adalah sebahagian dari cabaran yang perlu kami tempuhi dengan redha.
Apabila tiba di Mina, kami mengambil tempat di dalam khemah yang disediakan. Khemah di Mina lebih besar, berhawa dingin dan dapat menempatkan lebih seratus jemaah. Khemah kami terletak di kawasan Muaisim sebelum sampai ke terowong menuju ke jamarat sejauh 2.5km. Agak malang bagi Abah kerana sebahagian khemah muslimin mengalami kerosakan hawa dingin. Semakin mencabar ujian yang terpaksa ditempuhi. Bagi kaum muslimat, khemah kami bersebelahan dengan dapur dan tempat mengambil air panas.
Alhamdulillah, perjalanan kami ke Mina berjalan lancar dan pengembaraan masya'ir kami di Mina pada Hari Raya Aidil Adha hingga ke hari terakhir Tasyrik bermula...
No comments:
Post a Comment