Monday, December 31, 2012

Berakhirnya Sebuah Pencarian..........Al-Kauthar dan Sek Bina Insan

Kami masih mengharap agar Thaqif diberi peluang belajar di salah satu sekolah yang telah kami senaraipendekkan walaupun kami tahu peluang untuk ke Al-Kauthar agak tipis kerana saingan yang agak sengit. Maklumlah permohonan yang diterima sebanyak 400 lebih dan tempat yang disediakan hanya 90. Peluang Thaqif hanya 25% berbanding di IQKL lebih kurang 50%. Kami akhirnya akur dengan sms yang diterima dari seorang Ustaz yang mengajar di Al-Kauthar, kebetulan rakan kepada Pak Lang yang memaklumkan kepada kami Thaqif tidak berjaya menempatkan diri di dalam 90 yang lulus ujian. Kami diberitahu Thaqif menduduki ranking ke 98 dan termasuk di dalam waiting list sekiranya ada yang menolak tawaran. Jadi, masih ada harapan untuk Thaqif di Peringkat kerana kami percaya mesti ada yang mendapat tawaran ke SBP, MRSM dan Maahad Kawalan Yik seperti MTS dan MTAQ.

Semasa kami bercuti di Fraser’s Hill bersama keluarga Tok Abah, Abah menerima panggilan dan Thaqif ditawarkan ke Peringat untuk second intake. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana Allah swt memberi Thaqif peluang untuk meneruskan pengajian dalam bidang tahfiz. Esoknya kami menerima satu lagi berita gembira. Thaqif lulus temuduga di SBI. Agak sukar menembusi talian SBI kerana sentiasa engaged. Kami diberitahu SBI menerima lebih kurang 800 permohonan, satu jumlah yang besar untuk sekolah yang baru. Ianya satu perkembangan yang sangat positif, sudah ramai ibubapa yang ingin menghantar anak2 mereka untuk belajar di sekolah tahfiz integrasi.

Surat tawaran dari Al-Kauthar
Surat tawaran dari SBI
Walaupun terdapat beberapa sekolah tahfiz integrasi swasta sebegini, jumlahnya masih kecil untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. Berbanding sewaktu kami mula menghantar Dini ke MTS pada tahun 2007. Waktu itu MTS baru beroperasi di Tanah Merah, sebelumnya menumpang di Maahad2 lain. Kakak adalah batch pertama belajar di MTS Tanah Merah. Begitu juga dengan IQKL yang memulakan operasinya di bangunan baru hanya pada tahun 2009, dan Faiz adalah batch ketiga yang bersekolah di bangunan tersebut. Tahun 2013, tiba giliran Thaqif yang akan memulakan kehidupan baru di sekolah yang baru.

Kami masih belum membuat keputusan muktamad samada menghantar Thaqif ke Al-Kauthar atau ke SBI. Kedua2 sekolah mempunyai kelebihan dan kekurangan. Antara perkara yang kami pertimbangkan adalah dari segi lokasi, kurikulum dan kemudahan infra. SBI boleh menggunakan fasiliti di KUIS seperti masjid, dewan, tempat bersukan, perpustakaan dan lain-lain. Asrama yang disediakan juga bukan seperti asrama di sekolah berasrama penuh, tetapi lebih kepada kolej. Suasana ala kampus yang ditawarkan kepada pelajar memberi kelebihan pada SBI. Walaupun Thaqif merupa batch pertama dan pioneer untuk tingkatan satu, kami yakin SBI yang menjadi sebahagian daripada KUIS dapat memberikan yang terbaik untuk Thaqif melalui sistem pendidikan Islam yang menawarkan kurikulum niche Islam sebenar disamping menjadikan masjid sebagai qalbu sekolah.

Al-Kauthar juga sebuah sekolah yang tidak kurang hebat walaupun tidak tergolong dalam kategori maahad kawalan yik, prestasinya semakin meningkat. Walaupun sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1963, hanya pada tahun 2007 ia memulakan aliran tahfiz akademik dan pada tahun 2008 terpilih menjadi Sek Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat dan kurikulum Al Azhar Yik masih dikekalkan. Tidak banyak maklumat yang kami perolehi mengenai Al- Kauthar melalui internet kecuali blog sekolah yang sudah lama tidak dikemaskini. Prestasi peperiksaan SMU dan PMRU juga agak baik. Tetapi kami kurang pasti dengan muqarrar hafazan kerana seorang pelajar tingkatan satu yang kami tanya semasa Thaqif sedang ditemuduga memberitahu bahawa dia sudah menghafaz 1.5 juzuk Quran dan seorang pelajar tingkatan empat  yang kami temui sudah menghafaz lebih kurang 12 juzuk.

Bagi kebanyakkan sekolah tahfiz, biasanya muqarrar hafazan lebih kurang 5 hingga 7 juzuk setahun supaya cukup 30 juzuk untuk 5 tahun. Kami juga tidak pasti bagaimana teknik hafazan di SBI dan muqarrar yang ditentukan. Kami hanya diberitahu semasa ditemuduga, terdapat sukatan untuk hafazan Al Quran. Kami berharap tahfiz di SBI selaras dengan tahfiz di MTS dan IQKL di mana pelajar dapat menghabiskan 30 juzuk selama 5 tahun mereka di sana. Agak sukar sekiranya mereka tidak menamatkan hafazan dalam masa 5 tahun kerana apabila mereka menyambung pengajian di IPTA/IPTS atau mana2 institusi di luar negara, jadual dan fokus sudah berbeza melainkan mereka menyambung pangajian di university di timur tengah.

Kami bersyukur kerana Thaqif akhirnya mendapat dua tawaran. Sebenarnya Thaqif ada menerima satu lagi tawaran dari Sekolah Tinggi Islam As Sofa (Al Quran dan Hadith) di Sikamat, Seremban. Pada awalnya kami sangat berminat menghantar Thaqif di STIAS di Rembau. Kami telah pun membuat permohonan on-line dan diminta hadir untuk kursus Tafaqquh Din selama 5 hari 4 malam sebelum ditemuduga. Tetapi kami mendapat banyak feedback yang kurang positif mengenai pengasas Yayasan As Sofa dan setelah membuat research di internet, kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil risiko dengan menghantar Thaqif ke sana. Dengan tidak disangka, kami menerima sms mengatakan Thaqif terpilih untuk ke STIAS, Sikamat dan namanya tersenarai di laman web As-Sofa. Yayasan As-Sofa mengambil ramai pelajar tingkatan 1. Di STIAS Rembau, seramai 140 orang dan di STIAS Sikamat lebih 800 orang. Jika dilihat dari jumlah pengambilan pelajar, Yayasan As-Sofa boleh dikira sebuah institusi yang hebat. Semoga isu yang ditimbulkan mengenai Yayasan ini dapat diselesaikan kerana ia sedikit sebanyak memberi impak kepada ibubapa yang ingin menghantar anak2 mereka belajar di sini. Terpulanglah kepada ibubapa membuat penilaian mereka sendiri apa yang terbaik untuk anak2 mereka.

Bukan mudah untuk mencari sebuah sekolah yang baik untuk anak sekiranya anak kita kurang cemerlang dalam UPSR. Kesemua sekolah tahfiz terutamanya tahfiz integrasi di bawah seliaan Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan tempat untuk pelajar yang mendapat 5A and Mumtaz. Maahad2 Kawalan di bawah Yayasan Islam Kelantan seperti Maahad Tahfiz Sains (MTS) berkembang pesat dengan cawangan2 yang tumbuh bagai cendawan di Tumpat, Kok Lanas dan Bachok. Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITST) di bawah kelolaan JAIS pun berkembang pesat bermula di Jugra, kemudian di Klang. Sekolah2 Tahfiz Integrasi swasta juga sudah menaikkan syarat pengambilan pelajar kepada yang mendapat 5A dan 4A. Jadi, masih adakah peluang  untuk anak2 yang kurang cemerlang tetapi mempunyai minat yang mendapat untuk menghafaz Quran. 

Kami berharap agar lebih banyak sekolah2 tahfiz integrasi seperi Al-Kauthar dan SBI yang memberi ruang dengan meletakkan syarat yang lebih rendah. Kita sendiri sedia maklum, perkembangan pelajar lelaki secara umum agak lambat berbanding pelajar perempuan tetapi prestasi mereka terus meningkat bila mereka di peringkat sekolah menengah. Justeru, mereka perlu diberi peluang kerana merekalah yang bakal memimpin negara dan dan menjadi ketua keluarga. Kami berharap agar Kerajaan lebih prihatin dan  berbuat sesuatu bagi menampung permintaan yang tinggi untuk sekolah sebegini. Sekiranya MRSM boleh menyediakan MRSM Ulul Albab di Besut, Gemencheh, Kepala Batas kenapa Kementerian Pelajaran tidak menaik taraf SMKA kepada Sekolah Tahfiz Integrasi yang dapat melahirkan pemimpin masa depan yang mempunyai asas yang kuat di dalam pendidikan Islam, bersahsiah tinggi dan penghafaz Al-Quran. Dengan izin Allah swt, Malaysia dapat melahirkan seorang pemimpin dan ketua negara sehebat Dr Muhammad Morsi untuk mentadbir Malaysia suatu hari nanti.

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah, anak saya juga mendapat tawaran ke Al-Kauthar dan SBI. Tapi, kami belum membuat pilihan untuk ke sekolah yang mana. Mohon bantuan / pencerahan yang mana lebih elok berdasarkan pengalaman puan.


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5