Friday, October 28, 2011

Bakal Tetamu Allah swt 1432H

Setahun berlalu begitu pantas, begitu cepat waktu berlalu. Rasa seperti kami baru saja kembali dari tanah suci menunaikan ibadah haji. Musim haji 1432H sudah pun tiba dan sungguh bertuah mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah swt kali ini, alhamdulillah. Setiap kali mendapat berita mengenai rakan ataupun saudara yang mendapat jemputan istimewa tahun ini, hati merasa amat teruja terkenangkan saat kami menerima tawaran yang sama tahun yang lalu. Suatu perasaan yang amat sukar digambarkan, antara gembira bercampur gentar. Gembira kerana Allah swt sudi mendengar doa dan rayuan kami untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji yang lepas dan gentar memikirkan persiapan nurani yang masih belum mantap.

Alhamdulillah, segala urusan berjalan dengan lancar, daripada persiapan menghadiri kursus dan menimba sebanyak mungkin ilmu dan persiapan dalam menyediakan barang2 keperluan untuk berkampung di tanah suci selama lebih 40 hari. Kini, tiba masanya untuk kami berkongsi pengalaman dengan bakal2 tetamu Allah swt yang akan mengharungi rehlah haji musim ini. Ibu sempat menghantar rakan srikandi, Along Maslina di Kelana Jaya pada 5 September 2011. Walaupun pada hari yang telah ditetapkan, Along cemas semasa Ibu menelefonnya kerana penerbangan terpaksa ditunda disebabkan visa yang belum siap. Tetapi beberapa jam kemudian, Ibu menerima sms dari Along mengatakan urusan visa telah selesai dan dia akan berangkat awal pagi tersebut seperti yang dijadualkan. Ibu, Intan dan Liz sempat berjumpa Along di Tabung Haji. Ibu tidak berkesempatan menghantar rakan2 srikandi lain yang turut serta pada musim haji kali ini, Shitot dan Weeda tapi Ibu berdoa semoga segala2nya dipermudahkan untuk mereka, insyaAllah.

Seorang lagi bakal tetamu Allah swt, Kak Sha yang Ibu anggap sebagai kakak angkat juga menerimakan jemputan istimewa. Ibu sempat menghadiri kenduri doa selamat kak Sha di rumahnya dan memang berhajat menghantar Kak Sha di Kelana Jaya. Malang sekali, pada hari Jumaat yang lepas, 20 September 2011 Ibu tidak sempat tiba di Kompleks Tabung Haji kerana hujan yang amat lebat dan jalan yang sesak di LDP. Ketika Ibu tiba di Kelana Jaya lebih kurang jam 9.40pm setelah hampir 2 jam mengharungi kesesakan, Ibu menerima sms dari Kak Sha yang dia dikehendaki masuk untuk check in. Sedih dan terharu kerana hajat untuk bertemu Kak Sha sebelum dia berangkat ke tanah suci tidak kesampaian.

Kami sempat menziarah seorang lagi rakan yang dijadualkan berangkat ke tanah suci pada 22 September 2011, Anida dan Nazim. Kami kenal dengan mereka kerana Abang dan Alia sama belajar di SK Taman Setia. Walaupun anak2 tidak lagi belajar di sekolah yang sama, kami masih rapat dan selalu berhubung. Katering kenduri di rumah mereka disediakan oleh Pak Ngah dari Pesona Rasa. Sewaktu kami menghadiri kenduri doa selamat dirumah mereka pada 9 Oktober 2011, kami terkejut melihat rakan srikandi Ibu, Mimi yang turut hadir dari Melaka. Rupanya Nazmi dan Lemy adalah rakan sekolah di MRSM Kota Bharu. Sebelum Mimi dan Lemy balik ke Melaka mereka sempat singgah di rumah kami.


Pada hari Isnin yang lepas, kami sekali lagi berkunjung ke Kelana Jaya. Kali ini untuk menghantar ibu dan ayah saudara Abah, Pok Mae dan Mokcik ke tanah suci. Mereka datang terus dari Kota Bharu dan setibanya di Kelana Jaya dengan bas yang disediakan agen, kami terus membawa mereka ke SDMC untuk menziarah Pok Weil yang ketika itu dirawat kerana mengidap tyroid cancer. Setelah selesai menziarah, kami singgah di Pelita untuk makan sebelum menghantar mereka kembali ke Kelana Jaya. Bayangkan betapa jauh perjalanan mereka. dari KB seawal 11 pagi dan hanya berlepas ke Jeddah pada pukul 5 pagi keesokkan harinya dan sampai di Jeddah 9 jam kemudian. Perjalanan mereka masih jauh kerana terpaksa melalui imigresen di Terminal Haji Jeddah dan lebih sejam perjalanan dari Jeddah ke Mekah. semoga mereka tabah melalui perjalanan yang jauh dan mencabar dan selamat tiba ke tanah suci.


Kepada semua bakal tetamu2 Allah swt yang dimuliakan, selamat menjalani perjalanan rohani dan semoga diberi kekuatan rohani dan jasmani bagi mengharungi saat2 manis dan getir di tanah suci. Semoga Allah swt melindungi dan menurunkan rahmatNya yang maha luas pada semua yang terpilih. Bertawakkal lah kepada Allah swt dengan sebenar-benar tawakkal sewaktu menunaikan ibadah haji. Insyaallah perjalanan kita dan ibadah haji dipermudahkan Allah swt dari awal hingga akhir. Doakan agar kami diberi peluang untuk kembali ke bumi mulia, sekali ini bersama2 dengan Kakak, Abang dan Adik.

Friday, October 7, 2011

Hujung Minggu di KB - Bhg 1

Walaupun masih sedih dengan pemergian Tok, kehidupan perlu diteruskan. Segala yang dirancang perlu dilaksanakan. Pada 23 September 2011, hari ke 25 Syawal 1532H, kami bertolak balik ke Kelantan untuk menghadiri Solat Hajat Perdana dan penyampaian keputusan peperiksaan percubaan SPM di MTS. Tok Mama juga mengambil kesempatan untuk melakukan pembedahan kecil pada hari berikutnya untuk membuang batu karang di pundi hempedu semasa kami di sana.

Abah telah balik terlebih awal kerana menghadiri mesyuarat di Ladang Mengkebang, Sungai Durian. Ladang tersebut dikendalikan oleh Sime Darby Plantation dan Abah terpaksa ke sana kerana kemalangan yang berlaku pada 12 September 2011 dimana seorang pekerja maut kerana traktor yang dipandunya dilanggar keretapi. Ibu dan Adik menumpang Pak Lang yang juga balik ke kampung untuk menjaga Pak Su. Kami tiba di Kuala Krai jam 3 pagi.

Keesokkan harinya kami ke MTS dan seperti biasa, Kakak sudah sedia menunggu kami dengan happynya. Kami sempat bertemu dengan guru yang mengajar Dini untuk membincangkan prestasinya yang kurang memuaskan kerana hampir gagal dalam matapelajaran matematik tambahan walaupun cemerlang dalam subjek yang lain. Disebabkan satu subjek, Kakak mendapat kedudukan ke 11 dari 226 pelajar dan mendapat 10A 1E. Walaupun begitu, kami bersyukur dan berdoa agar Kakak dapat melakukan yang terbaik dalam peperiksaan SPM nanti. Tahniah Kakak.






Setelah selesai urusan di MTS, kami terus ke Hospital Pakar Perdana untuk melawat Tok Mama. Tok Mama hanya akan menjalani pembedahan esok dan kami mengambil keputusan untuk menginap di Sutera Inn. Kami sempat makan tengahari di Gerai Lido yang menyajikan Nasi Sup Ayam/Daging Bakar. Gerai ni terletak bersebelahan Grand Riverview Hotel. Pada mulanya kami berhajat nak makan dekat deretan kedai di tepi sungai, tapi apabila kami ke sana, tempat tersebut berupa rupa sama sekali. Gerai2 makan diganti dengan Menara Tinjau Tambatan Di'Raja. Sekali sekala datang ke KB, banyak perubahan yang TGNA dah buat.







Malamnya pula kami ke Medan Selera Buluh Kubu. Dahulu tempat ini memang happening dengan berbagai2 makanan tradisi Kelantan. Sekarang tempay ni kurang ummphhnya dan gerai2 pun semakin kurang. Pak Lang pulak tapau makanan dari Hoover dan sebelah malamnya dinner di Restoran Yati Ayam Percik. Kami jarang2 dapat makan di KB pada sebelah malam, jadi peluang kali ini memang tidak disiakan2. Selepas menjamu selera, kami balik ke hotel kerana keletihan. Adik, Pak Lang dan Pak Su sempat menonton perlawanan bola di antara Liverpool dan Wolves dengan kemenangan berpihak kepada Liverpool 2-1. Bilik di Sutera Inn pula cukup selesa dan kami tidur dengan lena hingga ke esok paginya.

Wednesday, October 5, 2011

Syawal yang Pilu...Al-Fatihah

Cerita Syawal kami masih belum berakhir. Setelah cuti raya berakhir, Abah kembali bekerja dan Kakak, Abang dan Adik kembali bersekolah seperti biasa. Ibu masih bercuti seminggu lagi kerana terpaksa menghabiskan 10 hari cuti tahunan secara berterusan (block leave). Ibu hanya kembali bekerja pada hari raya ke 14.

Hujung minggu sebelumnya, pada hari Sabtu, 12 Syawal, kami dikejutkan dengan berita kematian Tok Andak, biras Tok Gombak yang menghidap kanser paru2. Kami masih ingat akan ziarah kami ke rumah Tok Andak di Lembah Keramat pada raya yang lepas dan Tok Andak masih sihat dan ceria. Kami sempat menziarah aruah sebelum dia dikebumikan pada petang harinya.

Tiga hari selepas kematian Tok Andak, iaitu pada tanggal 13 September 2011 / 14 Syawal 1432H kami dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati, Tok Gombak akhirnya meninggalkan kami buat selama2nya diusia menjangkau 90 tahun. Kami langsung tidak menyangka Tok akan menyusul Tok Andak secepat itu. Tok langsung tidak menunjukkan tanda2 akan pergi meninggalkan kami. Dia hanya demam dari hari Sabtu dan tidak dapat menziarah Aruah Tok Andak. Hanya pada hari Isnin, demamnya semakin teruk dan kami sepakat membawa Tok ke Pusrawi. Ibu, Meer, Tok Onn dan Tok Tot menghantar Tok ke hospital dan Tok terus dibawa ke wad kecemasan untuk diberi drip dan diambil darah. Setelah beberapa jam, kami dimaklumkan mengenai hasil ujian darah dan diberitahu bahawa Tok mengidap demam denggi. Platelet count agak rendah dalam 55 dan gula dalam darah pada paras 8.5. Sambil menunggu untuk dihantar ke wad, kami berbual dengan Tok dan dia kelihatan ceria walaupun itu pertama kali Tok dimasukkan ke hospital selama hidupnya.

Tok ditempatkan di wad As'Saadah, bilik No 9, tingkat 4. Lin, Nisam, Acap, Shasha, Tok Papa, Ira, Tok dan Tok Wan sempat menziarah Tok semasa di wad. Za tinggal di hospital menemani Tok pada malamnya. Keesokkan pagi Chop, Haz dan Tok Mamie sempat melawat Tok dan berbual dengannya sebelum doktor datang membuat pemeriksaan lanjut. Pada pukul 12.26pm, Ibu mendapat panggilan dari Pusrawi memaklumkan bahawa Tok sedang nazak dan meminta Ibu datang ke hospital segera. Ibu bergegas ke hospital tetapi takdir telah menentukan yang Tok pergi hanya beberapa minit setelah Ibu sampai, tepat pada jam 12.47pm. Allah swt sahaja yang tahu betapa sedih dan kecewa Ibu kerana tidak sempat berjumpa dengan Tok buat kali terakhir. Ibu memang berhajat untuk ke hospital pada waktu makan tengahari untuk membawa bubur trigu. Hajat Tok untuk menjamah bubur kegemarannya yang dimasak Nenek tidak kesampaian.


Doktor yang memeriksa Tok juga tidak menyangka sama sekali Tok akan pergi secepat itu kerana hanya beberapa minit sebelum Tok menghembuskan nafas yang terakhir, dia nampak sihat dan bersedia untuk ke bilik x-ray untuk pemeriksaan. Hanya Za yang ada disisi Tok ketika Tok mengucapkan dua kalimah syahadah. Alhamdulillah adalah perkataan terakhir yang diucapkan oleh Tok sebelum melelapkan matanya. Innalillahi wainnailaihirojiun. Alhamdulillah, Tok pergi dengan aman dan tenteram. Wajahnya tidak ubah seperti seorang yang tidur dengan lena dan tenang sekali.

Berat rasanya melepaskan Tok pergi, hanya airmata dan doa yang tak putus2 mengiringi pemergiannya. Kami terharu dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Pusrawi. Semasa Tok sedang nazak, hampir kesemua staff yang bertugas bergegas ke bilik Tok membacakan surah Yassin dan setelah Tok pergi, merekalah yang menenangkan kami untuk redha dan menerima ketentuan dari Allah swt. Kami mula memaklumkan semua mengenai kematian Tok dan semua bagai tidak percaya mendengar khabar tersebut. Kakak, Abang dan Adik terkejut apabila Abah menyampaikan berita mengenai Tok. Abang dan Adik sempat menatap wajah Nyang buat kali terakhir tetapi Kakak tidak berkesempatan kerana tiba dari MTS keesokkan harinya.

Setelah agak tenang, kami berbincang untuk menguruskan jenazah dan Tok Wan mengambil keputusan agar jenazah Tok dimandikan di Pusrawi dan dibawa balik ke rumah untuk disolat. Tok Wan dan Tok bergegas balik ke Gombak untuk menguruskan rumah bagi menerima tetamu yang datang menziarah. Ibu, Haz, Lin dan Tok Nana berpeluang memandikan jenazah Tok, Alhamdulillah. Setelah selesai, jenazah Tok akhirnya dibawa balik kerumahnya buat kali terakhir dan disolatkan. Tok dikebumikan di tanah perkuburan Danau Kota dimana Arwah Aunty Munah dan Uncle Ipin disemadikan. Segalanya berlaku dengan pantas, kami meninggalkan tanah perkuburan jam 6.30 petang setelah selesai pengkebumian dengan hati yang berat.







Terasa bagai mimpi, dalam sekelip mata dan tidak terduga, Tok telah pergi buat selama2nya. Pada malamnya, kami menerima kunjungan yang tak henti2 dari saudara mara dan rakan taulan, mereka yang mengenalinya selama hidupnya yang datang menghadiri tahlil. Hari2 berikutnya, kami masih terus mengadakan tahlil.

Kesedihan kami tidak berhenti di sini. Genap seminggu pemergian Tok, kami menerima berita kematian sepupu Tok, Mak Nab di Lahar Minyak, Pulau Pinang. Mak Nab cedera parah dalam kemalangan di Sg Bakap bersama anak, menantu dan cucu dalam perjalanan pulang dari Gombak setelah menziarah Tok. Mereka tiba agak lewat lebih kurang pukul 10 malam kerana perjalanan yang jauh. Walaupun kami cuba menahan mereka dari balik dan tidur saja di rumah Tok, mereka bersungguh2 ingin balik kerana cucu Mak Nab sedang menduduki peperiksaan UPSR.

Mereka akhirnya bertolak balik pada jam 1.30 pagi. Keesokkan harinya, kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang berlaku jam 4.30 pagi di Sungai Bakap. Kemalangan berpunca dari sebuah kereta savy berwarna hitam yang terbabas ditengah2 lebuhraya akibat lari dari dikejar polis. Oleh kerana kawasan tersebut gelap dan kereta pula berwarna hitam, anak Mak Nab tidak menyedari kehadiran kereta tersebut hingga ke saat akhir. Kesemua mereka mengalami kecederaan patah dan retak tulang. Bertambah kesedihan kami mengenangkan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga dan malang tak berbau apabila genap seminggu di hospital Seberang Jaya, Mak Nab menghembuskan nafas yang terakhir. Innalillah...hanya ucapan takziah dan doa yang dapat kami utuskan pada keluarga Arwah Mak Nab agar tabah dan redha menerima dugaan dari Allah swt.

Sesungguhnya, inilah Syawal yang Pilu buat kami. Firman Allah di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 35:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Al-Fatihah buat Arwah Tok, Tok Andak dan Mak Nab, semoga roh2 mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan roh2 para solihin.

Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5