Friday, October 28, 2011

Bakal Tetamu Allah swt 1432H

Setahun berlalu begitu pantas, begitu cepat waktu berlalu. Rasa seperti kami baru saja kembali dari tanah suci menunaikan ibadah haji. Musim haji 1432H sudah pun tiba dan sungguh bertuah mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah swt kali ini, alhamdulillah. Setiap kali mendapat berita mengenai rakan ataupun saudara yang mendapat jemputan istimewa tahun ini, hati merasa amat teruja terkenangkan saat kami menerima tawaran yang sama tahun yang lalu. Suatu perasaan yang amat sukar digambarkan, antara gembira bercampur gentar. Gembira kerana Allah swt sudi mendengar doa dan rayuan kami untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji yang lepas dan gentar memikirkan persiapan nurani yang masih belum mantap.

Alhamdulillah, segala urusan berjalan dengan lancar, daripada persiapan menghadiri kursus dan menimba sebanyak mungkin ilmu dan persiapan dalam menyediakan barang2 keperluan untuk berkampung di tanah suci selama lebih 40 hari. Kini, tiba masanya untuk kami berkongsi pengalaman dengan bakal2 tetamu Allah swt yang akan mengharungi rehlah haji musim ini. Ibu sempat menghantar rakan srikandi, Along Maslina di Kelana Jaya pada 5 September 2011. Walaupun pada hari yang telah ditetapkan, Along cemas semasa Ibu menelefonnya kerana penerbangan terpaksa ditunda disebabkan visa yang belum siap. Tetapi beberapa jam kemudian, Ibu menerima sms dari Along mengatakan urusan visa telah selesai dan dia akan berangkat awal pagi tersebut seperti yang dijadualkan. Ibu, Intan dan Liz sempat berjumpa Along di Tabung Haji. Ibu tidak berkesempatan menghantar rakan2 srikandi lain yang turut serta pada musim haji kali ini, Shitot dan Weeda tapi Ibu berdoa semoga segala2nya dipermudahkan untuk mereka, insyaAllah.

Seorang lagi bakal tetamu Allah swt, Kak Sha yang Ibu anggap sebagai kakak angkat juga menerimakan jemputan istimewa. Ibu sempat menghadiri kenduri doa selamat kak Sha di rumahnya dan memang berhajat menghantar Kak Sha di Kelana Jaya. Malang sekali, pada hari Jumaat yang lepas, 20 September 2011 Ibu tidak sempat tiba di Kompleks Tabung Haji kerana hujan yang amat lebat dan jalan yang sesak di LDP. Ketika Ibu tiba di Kelana Jaya lebih kurang jam 9.40pm setelah hampir 2 jam mengharungi kesesakan, Ibu menerima sms dari Kak Sha yang dia dikehendaki masuk untuk check in. Sedih dan terharu kerana hajat untuk bertemu Kak Sha sebelum dia berangkat ke tanah suci tidak kesampaian.

Kami sempat menziarah seorang lagi rakan yang dijadualkan berangkat ke tanah suci pada 22 September 2011, Anida dan Nazim. Kami kenal dengan mereka kerana Abang dan Alia sama belajar di SK Taman Setia. Walaupun anak2 tidak lagi belajar di sekolah yang sama, kami masih rapat dan selalu berhubung. Katering kenduri di rumah mereka disediakan oleh Pak Ngah dari Pesona Rasa. Sewaktu kami menghadiri kenduri doa selamat dirumah mereka pada 9 Oktober 2011, kami terkejut melihat rakan srikandi Ibu, Mimi yang turut hadir dari Melaka. Rupanya Nazmi dan Lemy adalah rakan sekolah di MRSM Kota Bharu. Sebelum Mimi dan Lemy balik ke Melaka mereka sempat singgah di rumah kami.


Pada hari Isnin yang lepas, kami sekali lagi berkunjung ke Kelana Jaya. Kali ini untuk menghantar ibu dan ayah saudara Abah, Pok Mae dan Mokcik ke tanah suci. Mereka datang terus dari Kota Bharu dan setibanya di Kelana Jaya dengan bas yang disediakan agen, kami terus membawa mereka ke SDMC untuk menziarah Pok Weil yang ketika itu dirawat kerana mengidap tyroid cancer. Setelah selesai menziarah, kami singgah di Pelita untuk makan sebelum menghantar mereka kembali ke Kelana Jaya. Bayangkan betapa jauh perjalanan mereka. dari KB seawal 11 pagi dan hanya berlepas ke Jeddah pada pukul 5 pagi keesokkan harinya dan sampai di Jeddah 9 jam kemudian. Perjalanan mereka masih jauh kerana terpaksa melalui imigresen di Terminal Haji Jeddah dan lebih sejam perjalanan dari Jeddah ke Mekah. semoga mereka tabah melalui perjalanan yang jauh dan mencabar dan selamat tiba ke tanah suci.


Kepada semua bakal tetamu2 Allah swt yang dimuliakan, selamat menjalani perjalanan rohani dan semoga diberi kekuatan rohani dan jasmani bagi mengharungi saat2 manis dan getir di tanah suci. Semoga Allah swt melindungi dan menurunkan rahmatNya yang maha luas pada semua yang terpilih. Bertawakkal lah kepada Allah swt dengan sebenar-benar tawakkal sewaktu menunaikan ibadah haji. Insyaallah perjalanan kita dan ibadah haji dipermudahkan Allah swt dari awal hingga akhir. Doakan agar kami diberi peluang untuk kembali ke bumi mulia, sekali ini bersama2 dengan Kakak, Abang dan Adik.

2 comments:

Uncle said...

Salam.
Cepat sungguh masa berlalu....teringat masa uncle berjumpa dengan dadaiq sekeluarga disana!

DadaIQ said...

Betul sangat Uncle, how time flies. Rasa macam baru sangat kami ke sana. Tup, tup dah almost a year :(


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5