Friday, December 7, 2012

Thaqif dan SKTS

Alhamdulillah, berakhir sudah sesi persekolahan buat Thaqif di SKTS. 19 November 2012 merupakan hari terakhir Thaqif di SKTS setelah menerima keputusan UPSR. Selepas ini kami sudah tidak perlu lagi menghadirkan diri ke SKTS kerana sudah tidak mempunyai anak yang bersekolah di sekolah rendah. Terlalu banyak jasa SKTS kepada ketiga-tiga anak kami dari Dini, Faiz dan Thaqif. Di sinilah mereka mula menimba ilmu dan belajar mengenal kehidupan. Kami amat berterimakasih dengan semua guru-guru yang banyak berkorban mengajar anak-anak kami dari tahun 2001 hingga 2012. Kami akan merindui mesyuarat PIBG, hari sukan, hari kantin, majlis penyampaian hadiah dan hari mengambil buku rekod.

Sememangnya kami sangat berdebar menantikan keputusan UPSR keluar. Maklumlah, Thaqif bukan seperti Kakak dan Abang. Oleh kerana tinggal keseorangan di rumah, dia lebih banyak menghabiskan masa bermain PS, Computer dan PSP. Kami tidak meletakkan harapan untuk Thaqif untuk mendapat 5A dalam UPSR tapi kami berharap keputusan yang bakal diperolehi cukup untuk memudahkan Thaqif memohon sekolah menengah yang baik. Alhamdulillah, Thaqif mendapat 3A2B apabila Teacher Mary mengumumkan keputusan. Kami sangat gembira dengan keputusan UPSR Thaqif yang di luar jangkaan. Thaqif mendapat B dalam matapelajaran Sains dan Matematik.

Walaupun Thaqif bukanlah seorang pelajar pintar di SKTS tapi dari apa yang kami tahu dari guru-guru dan rakan-rakannya di sekolah, Thaqif memang seorang yang popular. Walaupun saiz badannya yang comel, dia mendapat undian tertinggi bagi mengisi jawatan Ketua Rumah Biru. Mungkin kerana minatnya yang mendalam terhadap bola. Walaupun rumah biru tidak menjadi juara pada hari sukan tahun ini, tetapi rumah biru berjaya memenangi perbarisan dengan tema "Angry Bird". Thaqif juga selalu menjadi imam di sekolah dan menjadi penyanyi solo kumpulan nasyid sekolah. Walaupun tidak menerima sebarang hadiah pada Hari Anugerah Kecemerlangan 2012, Thaqif menyanyikan lagu Doa Perpisahan sebagai menutup tirai majlis tersebut dan sebagai tanda perpisahan antara Thaqif dan SKTS.

Selepas majlis tersebut, Teacher Mary datang berjumpa dengan Ibu dan Thaqif memohon maaf kerana Thaqif sepatutnya menerima hadiah bagi matapelajaran terbaik Pendidikan Islam. Kami telah pun menerima surat untuk hadir ke majlis tersebut. Tetapi dua hari sebelum majlis, Thaqif maklumkan pada kami anugerah tersebut ditarik balik. Walaupun terkilan kerana itulah pertama kali Thaqif menerima hadiah di majlis kecemerlangan dan dia pun agak teruja bila mendapat surat, kami redha kerana mungkin ada kesilapan yang tidak disengajakan. Pada hari tersebut setelah semua pelajar tahun 6 menerima sijil graduasi, Teacher Mary menegur Thaqif kerana menanggalkan robe kerana dia akan naik ke pentas sekali lagi untuk menerima anugerah matapelajaran terbaik dan Thaqif memaklumkan yang anugerah tersebut telah diberi kepada pelajar lain. Teacher Mary agak terkejut apabila mendapat tahu perkara tersebut dan setelah majlis berakhir dia berjumpa kami untuk menjelaskan  perkara yang sebenar. Memang Thaqif dicalonkan untuk menerima anugerah tersebut walaupun dia tidak mendapat markah tertinggi bagi peperiksaan akhir tahun tetapi secara keseluruhan prestasinya pada tahun tersebut dalam matapelajaran Pendidikan Islam. Teacher Mary hanya mahu anugerah-anugerah pada majlis tersebut diagihkan kepada lebih ramai pelajar yang layak dan tidak tertumpu hanya kepada beberapa orang pelajar cemerlang. Tetapi semasa Teacher Mary menghadiri kursus selama tiga hari, senarai pelajar yang menerima anugerah ditukar tanpa pengetahuannya. Walaupun kami maklumkan pada Teacher Mary kami terima keputusan yang dibuat oleh pihak sekolah, Teacher Mary tetap ingin menjelaskan kepada kami apa yang berlaku kerana baginya peristiwa sebegini boleh meninggalkan kesan yang mendalam pada murid. Sungguh mulia hati seorang guru dan dia sendiri ingin menjelaskan perkara sebenar di hadapan Thaqif supaya Thaqif tidak kecewa dengan peristiwa tersebut. Terimakasih yang tak terhingga kami ucapkan kepada Teacher Mary yang mengajar anak-anak kami yang belajar di SKTS. Mungkin bagi kita, ia hanya satu perkara yang remeh, apalah sangat anugerah untuk matapelajaran terbaik. Tetapi ia mungkin sesuatu yang besar dan hebat bagi anak-anak yang tidak pernah menerima apa-apa anugerah seperti Thaqif.

Faiz dan Thaqif bersama Teacher Mary
Thaqif rehat selepas UPSR
Thaqif and his best friends
Logo 6 Geliga yang dicipta oleh Thaqif....macam logo LFC :)
Ketua Rumah Biru yang dah kepenatan
Semangat mewakili rumah
Wajah ceria seorang ketua :)
Walau apa pun yang berlaku, kami redha dan terima Thaqif seadanya. Mungkin dia bukan ditakdir untuk menjadi pelajar cemerlang seperti Kakak yang tidak pernah tercicir dari menerima bermacam anugerah selama 6 tahun di SKTS, tetapi dia akan jadi seorang yang hebat suatu hari nanti, in shaa Allah. Ibu dan Abah sentiasa doakan agar Thaqif berjaya di dunia dan di akhirat dan yang utama menjadi seorang yang berilmu dan berakhlak mulia. Semoga Thaqif menjadi anak yang soleh. Tahniah Adik dari Ibu, Abah, Kakak dan Abang. We all love you very much....

Majlis Anugerah Hari Kecemerlangan 2012
Thaqif dan slip UPSR
Baru berselera selepas mendapat keputusan :)
Slip UPSR Adik
Thaqif "Doa Perpisahan"

No comments:


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5