Rehlah haji kami masih belum berakhir selagi belum menjejakkan kaki ke tanah haram kedua, iaitu kota Madinah Al Munawwarah. Giliran kami tiba pada tanggal 5 Disember 2011/29 Zulhijjah 1431H dan kami adalah kumpulan terakhir Ash-Har Travels yang menuju ke Madinah. Setelah menunaikan tawaf wada' selepas solat subuh, kami bersiap menunggu bas yang dijangka tiba pada pukul 10 pagi. Alhamdulillah, proses meninggalkan Makkah berjalan dengan lancar dan teratur. Perasaan hiba melanda jemaah tatkala bas yang kami naiki perlahan-lahan meninggalkan tanah suci yang menjadi kediaman kami selama lebih kurang 33 hari.
Hadapan hotel di Misfalah
Perjalanan menuju ke Madinah mengambil masa lebih kurang 8 jam dan kami sempat singgah di R&R untuk makan tengahari di Restoran Naif. Setibanya kami di situ, kami sempat menunaikan solat jama' zohor dan asar dan menikmati nasi arab berlauk ikan goreng yang tidak kurang enaknya. Beberapa ketika selepas menyambung perjalanan, bas kami berhenti di tengah-tengah lebuhraya untuk melihat beruk-beruk yang datang berbondong-bondong untuk mengambil makanan yang diberi para jemaah. Dari mana datangnya sebegitu banyak beruk-beruk dan bagaimana mereka tinggal di padang pasir yang tandus hanya mereka yang mengetahui. Kami akhirnya tiba di Madinah lewat petang setelah melalui proses pendaftaran jemaah. Apabila menara-menara Masjid Nabawi mula kelihatan, rindu yang sekian lama terpendam mula terubat. Syukur kepada Allah swt yang memberi peluang untuk kami kembali menziarah makan kekasihNya, Rasulullah saw serta keluarga dan sahabat baginda. Kami checked in di Hotel Royal Dyar, yang terletak betul-betul di belakang Hilton Medina, lebih kurang 70 meter dari Masjid Nabawi.
Kami amat bertuah kerana mendapat bilik yang menghadap ke masjid di tingkat 8. Makanan yang disajikan kepada jemaah disediakan oleh pihak hotel di coffee house. Jadi kami berpeluang menikmati makanan arab, beranika salad dan dessert yang enak. Hampir setiap hari kami dihidangkan dengan daging kambing dan kentang dalam berbagai masakan. Apabila sudah mulai jemu, kami makan KFC atau pun Hardees.
Kami memulakan solat 40 waktu berturut-turut bermula dari solat isya' walaupun Abu Anas sudah memberitahu bahawa hadis yang menganjurkan solat 40 waktu di Masjid Nabawi bukanlah dari hadis yang sahih. Bagi kami, peluang yang ada di bumi Madinah tidak akan kami sia-siakan kerana pahala ibadah di Masjid Nabawi digandakan sebanyak 1,000 kali. Madinah sudah mulai sejuk terutama pada waktu malam hingga ke subuh. Sejuknya menusuk ke tulang hingga kami terpaksa memakai pakaian tebal untuk ke masjid. Jemaah masih ramai sehingga adakalanya kami terpaksa solat di dataran.

2 comments:
rindunya nak ke madinah!
Intan Terpilih,
Ada rezeki insyaAllah kita dapat ke sana lagi.
Post a Comment