Thursday, January 14, 2010

SYABAS.....Paip Pecah Lagi!!!!

Kejadian paip pecah atau bocor bukan lagi satu keadaan yang asing bagi kami. Paip besar berukuran 8 inci ukur lilit yang ditanam lebih kurang 10 kaki dalam di tepi rumah kami sudah banyak kali melimpahkan air bergelen-gelen! Semenjak kami menetap di rumah ini sejak 12 tahun yang lalu, paip yang melalui kawasan tepi rumah kami sepanjang 70 kaki tidak kurang dari 7 kali pecah!

Dari Jabatan Bekalan Air (JBA) ke Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) ke Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), paip di kawasan rumah kami yang sudah berumur lebih dari 40 tahun masih belum dapat ditukar. Alasan yang diberi hanya satu, TIADA PERUNTUKAN. Sudah terlalu banyak aduan yang kami lakukan tetapi masih belum berhasil.

Setiap kali apabila paip bocor, air dan tanah akan melimpah dan memasuki kawasan rumah kami semacam air terjun. Apa saja yang ada dilaluannya akan rosak terutama rumput dan pokok-pokok. Sebelum kami membina longkang dan benteng tinggi di tepi kawasan rumah kami, air dari paip yang pecah akan melimpah hingga masuk ke dalam rumah dan kami terpaksa berhempas pulas menghalang air dari memasuki rumah kami. Setelah paip dikunci, kami bertungkus lumus pula membersihkan kawasan luar dan dalam rumah kami. Begitulah keadaannya setiap kali paip pecah. Rumah di atas bukit pun dapat merasa keadaan banjir walaupun tiada hujan!

Biasanya bila paip pecah, pihak Syabas akan menghantar kontractor yang dilantik untuk datang membaiki. Paip utama akan dikunci bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan. Yang paling kami tak tahan sekali ialah apabila jentolak dihantar mengorek tanah-tanah untuk mencari bahagian paip yang pecah. Sudah beberapa kali lanskap, tempat pakir kereta berturap, pokok-pokok besar disodok oleh jentolak.

Kejadian terakhir berlaku pada hari Selasa lepas, 5 Januari 2010 lebih kurang pukul 4.30 pagi. Kami terkejut mendengar bunyi jentolak yang agak kuat. Suami bingkas bangun dan dari anjung belakang bilik kami menjerit minta ditangguhkan kerja mengorek agar kami dapat mengalih kenderaan yang kami pakir di situ. Setelah kenderaan kami dialihkan, barulah kerja-kerja mengorek diteruskan. Pihak Syabas mengorek hingga 20 kaki panjang kawasan tepi rumah kami kerana tidak berjumpa paip yang pecah. Semua kerja-kerja menukar paip dan menerap jalan selesai lebih kurang pukul 10 pagi. Selama kerja berjalan, seluruh kawasan perumahan kami tiada bekalan air.

Kami berharap agar pihak Syabas akan menimbangkan permohonan penduduk kawasan kami untuk menukar paip-paip lama kepada yang baru bagi mengelakkan kejadian paip bocor yang terlalu kerap berlaku. Kami adalah salah seorang mangsa kerana kedudukan paip lama ini terletak bersebelahan rumah kami. Walaubagaimana, kami berpuas hati dan berterimakasih kepada pihak Syabas kerana memastikan tempat yang dikorek kembali seperti sedia kala.









No comments:


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5