Itulah antara respon-respon yg biasa didengar ...tapi bagi kami, selagi ada orang tua atau keluarga di kampung, kami akan baik ke kampung bila ada peluang dan keperluan...tak kira masa tak kira cara, balik tetap balik...selagi ada kampung, selagi tu lah ada orang balik kampung.
Kampung-kampung asal ini akan hilang dalam satu generasi lagi apabila ramai orang telah menjadikan kota metropolitan sebagai kampung mereka.
Tahun ini kami beraya di KL dahulu dan peraturan menggilirkan tempat menyambut Hari Raya pertama ini kami kekalkan dari tahun perkahwinan kami dan ianya akan diikuti sehinggalah tiada lagi orang–orang tua. Ianya difikirkan sesuatu yang adil dan perlu demi untuk memelihara hubungan silaturahim. Alhamdulillah, setelah 17 tahun, tiada sebarang masalah yang timbul.
Persiapan, perjalanan, ketibaan dan salam perpisahan bila balik kampung sungguh menyeronokkan dan syukur Allah swt jadikan perasaannya begitu indah dan ditunggu–tunggu. Alangkah ruginya jika kita tidak seronok untuk bertemu ayah bonda dan sanak saudara. Setelah menunaikan giliran merayakan Aidil Fitri di kota metropolitan KL dan ditambah pula dengan jadual bertugas semasa orang bercuti, kami bertolak ke Kelantan pada malam 7 Syawal di mana keesokkan harinya adalah cuti Hari Malaysia.
Rabu – 15 september 2010/malam 7 Syawal 1431H
Kami bertolak sekitar jam 9 malam dan jalanraya agak lengang dan sunyi namun tetap ceria dengan gemerlipan lampu kelip-kelip menghiasi rumah2 kampung. Alhamdulillah, kami tiba di Kuala Krai sekitar jam 2:30 pagi dan sempat beraya sebelum masuk tidur sehingga subuh.
Khamis - 16 September 20107 Syawal 1431H
Setelah breakfast (nasi belauk dan kerabu), kami mula mengorak langkah untuk pergi beraya di rumah sanak saudara dan kami berniat menziarahi mereka yang jarang kami lawati. Hentian pertama adalah di Ketereh, rumah Kak Ni dan Ropol, sepupu kepada Tok Abah. Ropol ini orangnya sentiasa sibuk dengan bisnes permata, golok dan tanah! Ini kali kedua kami ke rumah yang besar, cantik dan dihiasi anak2 comel yang sedang membesar ini. Moga Allah sentiasa melindungi mereka sekeluarga.
Setelah berbual dan menjamu selera, kami bertolak pula ke Kota Bharu untuk menziarahi Uncle Mokhtar dan Aunty Wan Hasanah, abang sulung kepada Tok Abah. Tiba sekitar waktu zohor dan mereka juga baru pulang dari Tumpat dan juga ada bersama adalah Eid (yang sakit pinggang) dan Ridwan (hari yang sangat menguntungkan baginya!!). Uncle masih kelihatan sihat namun Wan Nah agak terbatas kecepatan pergerakkannya, moga Allah swt permudahkan segala urusannya.
Seterusnya kami ke toko Jaafar Rawas pada waktu matahari sedang terik memancar bagi membeli sedikit bekalan keperluan menunaikan fardhu Haji (kerana kami dijangka menunaikan fardu Haji tahun ini, insyaAllah) dan setelah selesai, kami berkunjung pula ke rumah sepupu IQ dan anak sulung kepada Uncle Mokhtar iaitu Lu di Pasir Hor. Ini kali pertama kami ke sini dan kami sungguh teruja dengan peluang untuk bertemu keluarga ini. Rumah ini juga dihiasi anak2 yang cerdik, comel dan sedang membesar, alhamdulillah. Moga Allah sentiasa memberi rahmat kepada mereka sekeluarga.
Kami menyambung progam lawatan kami ke Pasir Mas, rumah Che Pa, seorang sahabat Tok Abah yang sangat rapat dan hebat, juga datuk kepada Khadijah Arissa. Mereka baru tiba dari Mekah, setelah berada di sana sebulan bulan Ramadhan...hebat sungguh komitmen untuk mendapat redha Allah swt, moga segala yang dikerjakan diterima oleh Allah hendaknya. Anak2 kami juga sempat beraya dengan tok2 guru Al-Quran mereka dan keluarga ini banyak memberi inspirasi kepada kami sekeluarga (maklumlah kesemua anak2 lelaki Che Pa adalah para hafiz). Tok Abah, Tok Mama dan Pak Su juga datang setelah mereka pergi melawat jiran yang mereka kenali pada sekitar tahun 70’an dahulu di Pasir Mas.
Setelah solat Maghrib kami beredar pulang ke Kuala Krai dan tiba di Krai sekitar jam 9 malam dengan badan yang sungguh penat namun puas dengan apa yang kami lakukan pada hari ini. Hari yang panjang dan memenatkan namun sangat berbaloi. Hari kami masih belum berakhir kerana kami kemudiannya keluar lagi ke Restoran Sri Thai pada malamnya kerana menjamu Pak Su yang sentiasa ada masa khas untuk melayannya dan memberi perhatian kepada permintaannya.
Jumaat - 17 September 2010/8 Syawal 1431H
Pada keesokan harinya, kami agak santai namun mempunyai rancangan untuk terus menziarah sanak saudara. Pagi2 lagi kami dan Tok Abah telah bertolak ke Machang untuk membeli belah di Pasar Tani Machang... banyak makanan dan bahan2 mentah yang menarik. Kami juga bercadang untuk makan tengahari di Kampung Dewan Besar iaitu di rumah asal yang diduduki Uncle Abdul Rahman, adik kepada Tok Abah, jadi kami juga perlu membeli lauk-pauk untuk dimasak. Sempat juga kami membeli kulat sisir dan ‘lado bena’ (lada hitam segar yang belum dikeringkan).
Wabak denggi sedang melanda kampung dan khemah2 Pejabat Kesihatan disediakan bagi membantu memeriksa orang yang disyaki mengidap demam denggi. Kami singgah di rumah Uncle Nawi, sepupu kepada Tok Abah, sebelum solat Jumaat, dan sempat bertemu kaum keluarganya. Khatib mendoakan kesejahteraan kepada Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad ke V, pada khutbah kedua solat Jumaat tersebut dan makmum mengaminkan doa tersebut. Sesudah solat Jumaat tersebut, kami balik ke rumah untuk menjamu selera, masakan Mak Cik dan Yani...sungguh menyelerakan bila makan bersila di kampung. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki bagi mereka sekeluarga.
Selesai di situ, kami berkunjung pula ke rumah Rosli, sepupu Tok Abah yang ‘gedebe’ yang terletak di Kampung Dewan Kecil. Rumah yang dikelilingi ladang getah dan rumah adik beradiknya yang lain. Kami dihidangi dengan popia serunding goreng (Ibu sempat belajar cari membuat kerana isteri Seli menjual beratus balang popia untuk raya) yang enak ditambah pula dengan air oren ais yang dingin...memang sesuai dengan hari yang panas terik. Kami juga doakan semoga Allah swt sentiasa memelihara keluarga ini dengan baik.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Krai, kami melalui jalan yang menghala ke Banggol Judah dan terus ke Bukit Bakar. Kami singgah di kawasan rekreasi Bukit Bakar yang telah lama tidak kami lawati. Tempatnya agak sederhana dan sesuai untuk riadah keluarga. Namun kebersihan kawasan dan aliran airnya perlu dijaga dengan lebih baik dan juga remaja – remaja yang berkeliaran dengan motor tanpa haluan perlu lebih ‘cakna’.
Pada sebelah malamnya pula, keluarga Tok Su telah mengadakan majlis solat hajat sempena memohon pertolongan Allah swt terhadap 2 cucunya yang akan menduduki peperiksaan UPSR minggu hadapan. Jemaah dari masjid Al-Qadir telah dijemput hadir dan jamuan nasi beriyani telah disediakan setelah selesai upacara solat hajat tersebut. Bermacam – macam lauk disediakan termasuklah 4 ekor ayam yang telah disembelih oleh Tok Abah pada sebelah paginya. Orang di Kelantan selalu mengadakan solat hajat jika ada sesuatu yang penting di yang dihajati...suatu adat yang perlu dikekalkan. Malam itu dimeriahkan lagi oleh dentuman mercun yang masih berbaki yang dibekalkan oleh Tok Yu...dan juga kehadiran anak perempuannya yang baru pada bulan Ramadhan yang lalu. Bagi mereka, kami doakan semuanya berjaya di dalam menempuh cabaran hidup masing2.
2 comments:
amboi...seronok sungguh beraya kali ni...dok ikut cerita ni rasa macam dok berkonvoi sama ke kelantan! Teringat tahun 81 dulu, IQ selalu dok ajak pergi sana...dia kata air terjun situ best!
Memang seronok raya kat kampung Uncle, lain dengan raya di bandar. Suasana meriah bila menziarah sedara mare. You felt so welcomed.
Bila Uncle nak datang ke Kelantan? We can take you and your family pi mandi ayer terjun :-)
Tunggu sambung cerita...masih panjang cerita raya ni!
Post a Comment