Monday, October 4, 2010

Raya Sakan di Kampung - Bhg 2

Sabtu - 18 September 2010 / 9 Syawal 1431H
Hari ini kami sangkakan suatu hari yang santai kerana banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum kami bertolak balik ke KL, namun tanggapan kami meleset setelah mendapat berita bahawa kakak ipar kepada Tok Nani, Mak Long yang tinggal di Pengkalan Kubor telah meninggal dunia. Innalillah....Kami berbelah bagi samada mahu pergi menziarah keluarga tersebut atau tidak kerana memikirkan rancangan untuk balik ke KL hari ini..takut-takut terperangkap di dalam kesesakan jalanraya kerana semua orang dijangka pulang ke KL pada hujung minggu ini. Sambil kami memikirkan hal itu, kami meneruskan aktiviti kami membeli bahan bekalan di Pasar Tani Guchil.

Kami telah membeli beberapa anak pokok untuk ditanam di rumah Tok Mama dan juga untuk rumah di KL selain dari membeli bahan2 keperluan lain seperti ikan kering, bawang dan sayur. Adik dan Tok Abah juga sempat menyaksikan pertunjukan ular....biasanya mereka ini menjual ubat–ubatan tradisional sambil memberi persembahan percuma. Apapun...pengalaman itu menarik bagi mereka yang belum pernah melihat ular senduk dan ular2 bisa lain.

Kami dimaklumkan bahawa keluarga dari KL telah bertolak ke Pengkalan Kubor menaiki pesawat dan setelah berbincang dengan Tok Abah ketika menanam pokok2 yang dibeli, kami membuat keputusan untuk pergi menziarah ke Pengkalan Kubor. Kami pun menuju Pengkalan Kubor melalui ‘ghetok (jambatan) Ibrahim Ali’ dan tiba di rumah arwah ketika jemaah sedang pada rakaat ketiga solat Zohor. Kami bergegas menjadi makmum masbuk dan solat jenazah telah diadakan selepas solat zohor tersebut. Jenazah kemudian dibawa untuk disemadikan di kawasan perkuburan lama (mungkin dari sini asalnya nama Pengkalan Kubor) berhadapan pintu masuk ke kawasan bebas cukai. Tanahnya berpasir dan harinya panas terik...pertama kali IQ melihat cara pengkebumian di tanah berpasir begini...jenazah diletakkan dahulu kemudian di letakkan kayunya yang berbentuk seperti kotak, tiada liang lahat yang dalam. Kita doakan semoga Allah mengampuni segala dosa arwah.

Urusan jenazahnya lancar tanpa sebarang insiden dan imam yang telah mengetuai upcara tersebut kebetulan juga adalah kawan lama Tok Abah...dunia ini sungguh kecil dan sebentar.
Setelah selesai urusan jenazah, kami teruskan dengan aktiviti membeli belah di pusat bebas cukai...ini aktiviti yang mesti dilakukan apa lagi kalau dah depan pagar pusat bebas cukai. Biasala...barang dapur dan jersey bola yang ada nama...standard items kalau datang ke sini! Perasaan lapar membawa kami berhenti makan tengahari di sebuah gerai yang kecil dan usang...tapi masakannya sungguh enak dan memenuhi citarasa.










Kami perlu bertolak ke selatan untuk menghantar Dini balik ke Tanah Merah sebelum jam 6 petang namun kami masih sempat singgah di pasar Wakaf Baru untuk membeli beras. Tidak boleh dinafikan bahawa beras Siam sememangnya cantik dan enak...putih dan panjang...nampak gebu kalau ianya beasap di atas pinggan, suatu yang menambah selera makan!! Patut la...Kami singgah lagi di bandar Pasir Mas untuk membeli Celcom broadband bagi kegunaan Dini dan seterusnya berhenti solat Asar di suatu masjid di Pasir Mas. Selesai solat, kami menikmati pula air kelapa fresh yang sejuk, dijual berhampiran masjid...sukar digambarkan kenikmatannya menghilangkan dahaga.

Kami tiba di MTS Tanah Merah sekitar jam 6 petang dan ramailah ibubapa sedang menghantar anak – anak pulang ke sekolah setelah bercuti panjang sejak 30 Ogos 2010. Ini adalah satu lagi kelebihan sekolah begini di mana hari kebesaran Islam diberikan penekanan. Kami doakan supaya Dini terus diberikan kekuatan untuk berjaya di dalam hidupnya dan seterusnya mencapai cita-citanya dan seterusnya mendidik anak cucunya dengan ilmu Al-Quran.

Bila tiba di rumah sekitar Maghrib, Pok Su nampaknya tidak berpuas hati kerana dia tidak dibawa bersama sepanjang hari namun setelah menerangkan bahawa kami terpaksa bertolak awal untuk pergi ke Pengkalan Kubor kerana kematian, dia boleh menerimanya...lagipun dia selalunya bangun jam 11 pagi. Namun dia meminta supaya dibawanya ke 7 Eleven untuk membeli minuman dan permintaan itu tidak ditolak. Kami doakan Allah sentiasa melindungi Pak Su dari sebarang aniaya dan kejahatan semasa hidupnya di bumi yang mencabar ini.

Sambil bergilir – gilir solat, mandi dan rehat, ibu juga sibuk mengemaskan barang untuk di bawa pulang ke KL......tak de la penuh sangat dan ada la pulak bungkusan makanan Dini yang tertinggal!! Setelah makan malam yang enak masakan Tok Mama sekitar jam 9 malam, kami pun meminta izin untuk menyambung perjalanan kami pada hari itu menuju KL dan meninggalkan bonda, ayahnda dan adinda... kelihatan lampu merah kereta semakin sayup hingga hilang ditelan kegelapan malam.

Kekadang terfikir...apakah di dalam fikiran mereka waktu itu? Suatu soalan yang pasti terjawab jika umur panjang dan bila tiba waktunya nanti. Kami sentiasa doakan agar Allah sentiasa mengasihani mereka, mengampuni segala dosa mereka dan mengurniakan mereka syurga di akhirat kelak.

Kami tiba di Gombak sekitar jam 2:30 pagi tanpa sebarang masalah dengan trafik. Keadaan trafik secara keseluruhannya adalah baik di sepanjang jalan ini dan di sekitar Kelantan sepanjang Hari Raya tahun ini. Ianya tentulah suatu lagi rahmat bagi negeri Kelantan...mahupun yang terancang atau tidak oleh akal manusia.

Alhamdulillah kami dapat melakukan segalanya dengan baik dan selamat. Kami juga yakin bahawa apa yang telah dilakukan itu walaupun memenatkan namun ianya penting bagi mengukuhkan hubungan silaturahim di antara insan terutamanya orang – orang yang terdekat dengan kita. Ianya juga merupakan antara perkara-perkara yang dituntut di dalam agama Islam.

Ahad – 19 September 2010 / 10 Syawal 1431H
Hari ini kami lebih berehat sahaja sambil membeli sedikit ration, mengemas rumah, menjenguk Tok dan membuat persiapan untuk menghantar Faiz balik ke IQKL setelah dia bercuti sejak 10 September 2010. Kita doakan semoga Allah sentiasa memberi kesabaran dan kebolehan yang tinggi kepada Faiz untuk terus berjaya di dalam hidupnya.

Sebelum menghantar Faiz balik ke sekolah, kami telah berkumpul lagi untuk beraya di rumah Uncle Dr Ismail di Hartamas, Tok dan Tok Wan serta Ramadhan dan Shahizan berserta keluarga juga hadir pada majlis itu dan ini menambahkan lagi kemeriahan perjumpaan ini....kecoh rumah apabila sepupu dan keluarga dapat bertemu, bercerita serta melayan kerenah dan celoteh anak – anak.
Ramadhan juga dijangka menjadi seorang bapa pada bulan Disember 2010 dan ini anak ini nanti bakal menjadi cucu kedua kepada opungnya Dr Isifatwa. Kita doakan semoga Allah sentiasa memberi rahmat dan berkat kepada keluarga Dr Ismail ini. Anak ini juga merupakan cicit ke 35 (anggaran) bagi arwah Hassan b Mat Aroff & Bidah bt Awang. Kita hadiahkan Al-Fatihah kepada mereka dan doakan semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Faiz masuk semula ke sekolah sebelum jam 6 dan kami kembali semula ke rumah Dr Ismail, yang berdekatan dengan sekolah Faiz itu, untuk Maghrib sebelum pulang ke rumah masing masing.

Kami juga diberitahu bahawa Tok Abah telah menghantar bungkusan makanan Dini yang tertiggal ke sekolahnya pada hari ini juga, mungkin takut dan kasihan cucunya kelaparan tak cukup makanan. Terima kasih Tok Abah dan Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa baik Tok Abah itu.

Begitulah tamatnya cuti Raya kami dan budak-budak pun seronok mendapat sejumlah duit Raya yang tak kurang lumayannya; yang biasanya kami masukkan ke dalam akaun Tabung Haji mereka setelah tamat bulan Syawal.

Keesokkan harinya, Isnin 20 September 2010, kami sepatutnya bercuti lagi namun cuti tersebut tidak diluluskan dan kami terpaksa masuk kerja. Ianya tidak menjadi masalah dan kami bersedia untuk mula bertugas pada keesokan harinya.

3 comments:

Uncle said...

aik...balik kelantan macam naik bas sks pergi seremban!

DadaIQ said...

hmmmm....dah biasa Uncle :-)

Anonymous said...

Menggamit kerinduanku....


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5