Tuesday, December 25, 2012

Pencarian Bermula....Sekolah Tahfiz Integrasi

Pencarian kami bermula setelah keputusan UPSR diumumkan. Sememangnya, inilah tugas kami setiap tiga tahun, sekolah untuk anak-anak. Pada tahun 2006, kami mencari sekolah untuk Dini dan alhamdulillah, rezeki Dini di Maahad Tahfiz Sains. Pada tahun 2009, Faiz bertuah kerana diterima masuk ke Sek Men Islam IQKL. Tahun ini giliran Thaqif pula. Kami dapat rasakan betapa sukar mencari sekolah tahfiz integrasi yang menggabungkan Akademik, Dinniah dan Tahfiz. Syarat kemasukan semakin ketat dan kebanyakkan sekolah tahfiz yang baik hanya meletakkan syarat 5A dan Mumtaz/Jayyid Jiddan sebagai syarat utama. Agak sukar bagi kami membuat pilihan berdasarkan pencapaian Thaqif yang mendapat 3A2B dan pangkat jayyid bagi PSRA.

Kami tidak berputus asa tetapi mencuba sedaya upaya mencari sekolah tahfiz yang baik bagi memenuhi hasrat Thaqif yang ingin mengikuti jejak langkah Kakak dan Abang. Antara sekolah-sekolah yang kami pertimbangkan adalah seperti:-

1. Sek Men Islam IQKL, Taman Tun, Kuala Lumpur (Sekolah Faiz)
2. Sek Men Ugama (Arab) Al-Kauthar, Peringat, Kota Bharu
3. Maahad Al-Quran dan Bahasa Arab Al-Manar di Pasir Puteh, Kelantan
4. Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring, Kuala Terengganu
5. Sek Men Islam Tahfiz Al-Amin (SMITA), Chenderong Balai, Perak
6. Sek Tinggi Islam As Sofa (STIAS), Rembau, N. Sembilan
7. Sek Men Setiabudi, Sg Pusu, Kuala Lumpur
8. Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Beseri, Perlis
9. Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Kelantan
10. Sekolah Bina Insan KUIS, Bandar Seri Putra, Kajang

Kami membuat research dan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai sekolah-sekolah tahfiz yang tersenarai. Daripada feedbacks yang diterima kami mengenal pasti beberapa sekolah. Walaupun pilihan utama kami adalah MTAQ, ianya hampir pasti bukan rezeki Thaqif kerana syarat yang terlalu ketat. Tok Abah sendiri menghantar borang permohonan di MTAQ dan diberitahu bahawa mereka diarah menerima borang dari pelajar yang mendapat 5A sahaja. Sekiranya masih ingin memohon, borang mesti di hantar terus ke Pajabar Yik. Tok Abah pun terus ke Yik menghantar borang walaupun mereka acuh tak acuh menerima. Mungkin borang kami langsung tidak dibuka dan diketepikan, wallahualam. Selepas beberapa minggu permohonan ditutup, kami dimaklumkan MTAQ menawarkan intake kedua, dan kali ini permohonan terbuka kepada yang mendapat keputusan 4A. Mungkin kurang mendapat sambutan kerana ramai yang memohon MTS. Apa salahnya dinilai permohonan dari mereka yang benar2 berminat untuk belajar di MTAQ. Mungkin mereka ini mempunyai potensi yang lebih besar untuk belajar ilmu qiraat di MTAQ.

Setelah membuat beberapa panggilan dan menghantar permohonan, Thaqif dipanggil untuk temuduga. Temuduga yang pertama adalah pada 24 November 2012 di Al-Manar. Jadi kami membuat keputusan untuk balik ke Kelantan bagi menghadiri temuduga. Kami juga bercadang untuk melihat Tahfiz Tok Jiring di Terengganu kerana temuduga diadakan dari 9 - 16 Disember 2012. Pada hari yang ditetapkan, kami bertolak ke Pasir Puteh bersama Tok Abah. Agar sukar mencari sekolah tersebut kerana lokasinya yang agak terceruk. Thaqif sudah mula resah apabila kami semakin sampai ke sekolah. Apa tidaknya, kami terpaksa melalui lorong kecil di tengah kebun getah dan kubur sebelum sampai ke sekolah. Apabila tiba, kami agak teruja melihat sudah banyak kereta yang sudah ada di perkarangan kawasan sekolah dari seluruh Malaysia. Lokasi sekolah agak terpencil dan keadaan sekolah masih belum siap sepenuhnya kerana masih ada pembangunan yang sedang berjalan. Melihat keadaan sekolah yang agak daif dan Thaqif yang kurang berminat, kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan niat menghantar Thaqif ke situ. Beginilah keadaan sekolah tahfiz swasta yang kurang dana dan tidak mendapat bantuan Kerajaan, hanya mengharapkan sumbangan dari orang ramai. Kami menghormati mereka yang sanggup menghantar anak-anak mereka ke sini kerana al-Manar pernah dipilih menjadi sekolah tahfiz swasta terbaik di Kelantan pada tahun 2009 dan kurikulumnya agak berbeza kerana menggunakan kurikulum dari Yaman dan Kuwait.





Dalam perjalanan balik, kami singgah di sebuah sekolah tahfiz yang baru siap, Maahad Tahfiz Al Hashimi di kampung Tualang Kuala Krai. Pusat Islam CT One ini akan dibuka tahun depan dan sudah mendapat pelajar seramai 48 orang. Memang sebuah sekolah yang hebat dari segi infrasturktur. Sekolah ini masih baru dan hanya mampu mengambil pelajar setiap tiga tahun sekali kerana kekurangan asrama. In sha Allah, sekolah ini mampu menjadi sebuah sekolah tahfiz terkemuka di Kuala Krai satu hari nanti kerana pengusahanya begitu komited menubuhkan sebuah kompleks Islam di kawasan ini. Buat masa ini, sekolah tahfiz, masjid dan gelenggang futsal serta rumah kakitangan telah siap dibangunkan. Semoga tujuan murni seorang bekas pegawai tentera ini mendapat ganjaran dari Allah swt.





Seusai solat zohor qasar dan jama' taqdim, kami meneruskan perjalanan kami ke Kuala Terengganu untuk melihat Maahad Tok Jiring. Tidak sukar mencari maahad ini kerana terletak di Jalan Kelantan menuju ke bandar Kuala Terengganu. Lokasinya agak strategik kerana terletak di tepi jalan utama. Apabila kami sampai, benarlah seperti yang diiklankan di dalam Harakah. Sekolahnya agak sederhana kerana sudah lama beroperasi sejak tahun 1977. Mungkin ia sebuah sekolah yang baik kerana kami dimaklumkan permohonan datang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Setelah melihat persekitaran sekolah, kami ke Pulau Wan Man untuk menziarah Taman Tamadun Islam sebelum check in di Ryaz Heritage.













Keesokkan harinya, setelah melawat sekitar Ryaz Heritage dan persiapan untuk Monsoon Cup Terengganu yang berlangsung pada 3 Disember 2013, kami check out dan terus ke Kuala Berang untuk menikmati ikan kelah masak tempoyak di di restoran kegemaran kami. Alhamdulillah, rezeki kami kerana masih ada stok ikan kelah uang belum dimasak. Sememangnya menjadi kebiasaan apabila kami berjalan jauh. Kami akan mengambil peluang JJCM (Jalan-Jalan Cari Makan) dan melawat tempat2 menarik sambil menyelesaikan urusan.















Setelah selesai menjamu selera, Abah menerima panggilan dari Tok Abah. Tok Abah memberitahu kami mengenai sebuah sekolah tahfiz di Peringat yang menawarkan tempat bagi mereka yang mendapat UPSR 3A2B. Tok Abah mendapat tahu mengenai sekolah tersebut dari Abang Zaki yang juga datang bersama Tok Abah untuk menghantar permohonan untuk Amin. Oleh kerana teruja dengan info yang baru diterima, kami tidak jadi untuk balik ke KL tetapi berpatah balik ke Kota Baru untuk melihat sekolah tersebut. Tok Abah sudah pun menyerahkan borang permohonan kepada sekolah dan Thaqif adalah pelajar yang ke 308 yang memohon.

Kami dimaklumkan bahawa sekolah tersebut menawarkan sebanyak 90 tempat untuk kemasukan tingkatan satu. Thaqif perlu hadir untuk temuduga pada 3 Disember 2012. Apabila kami tiba di SMU (A) Al Kauthar, Peringat, kami sangat teruja kerana sekolah tersebut agak hebat berbanding sekolah2 yang kami telah lawati. Bangunan asramanya nampak baru begitu juga dewan makan. Terdapat sebuah masjid kecik di dalam kawasan sekolah. Melalui info yang kami perolehi dari internet, sekolah ini adalah salah sebuat Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Jadi tidak hairan infa sekolah ini boleh dikira lebih baik dari sekolah2 YIK kerana mendapat peruntukan dari Kerajaan Persekutuan. Sewaktu kami tiba, kami dimaklumkan oleh pihak sekolah sudah seramai 350 permohonan yang diterima dari seluruh Malaysia. Nampaknya Thaqif terpaksa berusaha keras bagi melepasi ujian tilawah dan hafazan kerana persaingan yang amat sengit. Setelah berpuas hati melihat kawasan sekitar sekolah, kami balik semula ke Kuala Krai dan keesokkan harinya meneruskan perjalanan kami pulang ke Kuala Lumpur.

Minggu hadapan kami akan menyambung perjalanan dan pencarian kami semula dan kembali ke Kelantan untuk menghadiri temuduga di SMU (A) Al Kauthar dan Thaqif mempunyai masa hampir seminggu untuk bersiap sedia menghadapi temuduga pada minggu hadapan.


2 comments:

zu said...

Assalamualaikum,

Saya nak bertanya kalau tak keberatan. Bole tak list kan pro and cons ketiga-tiga sekolah anak puan? MTS, IQKL an SBI. Saya pun nak hantar anak saya ke sekolah akedemik dan tahfiz? Mohon penjelasan. Tq

zu said...

Assalamualaikum,

Saya nak bertanya kalau tak keberatan. Bole tak list kan pro and cons ketiga-tiga sekolah anak puan? MTS, IQKL an SBI. Saya pun nak hantar anak saya ke sekolah akedemik dan tahfiz? Mohon penjelasan. Tq


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5