Friday, November 2, 2012

Bermulanya Satu Kehidupan...

Sudah lebih sebulan Kakak meninggalkan kami untuk mengejar impiannya untuk menjadi seorang doktor muslimah. Alhamdulillah, walaupun tidak mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di tanah air, Kakak mendapat peluang bermusafir menimba ilmu di bumi Mesir. Sememangnya itulah harapan Kakak untuk belajar di luar negeri, ingin mengikuti jejak langkah Abah dan Ibu katanya...mencari pengalaman sambil memenuhi cita2 untuk bergelar Doktor Muslimah.

Sebelum Kakak berangkat ke Mesir, kami sekeluarga mengadakan majlis doa selamat. Sebenarnya, itu adalah majlis doa selamat yang ketiga yang diadakan untuk Kakak. Memang murah rezeki Kakak. Pada hari raya puasa yang keempat, Tok Abah dan Tok Mama membuat solat hajat di Kuala Krai dan Tok dan Tok Wan pula membuat kenduri doa selamat di Bukit Indah pada cuti hari Malaysia. Jadi, kami hanya berpeluang mengadakan majlis pada hujung minggu terakhir sebelum Kakak berangkat dan kami turut mengambil kesempatan mengadakan Majlis Khatam Hafazan Al-Quran dan Tahlil untuk Arwah Tok Gombak yang genap setahun meninggalkan kami. Majlis 3 dalam 1 kami adakan pada hari Ahad, 23 September 2012 lebih kurang sehari sebelum Kakak berangkat pada 25 September 2012 jam 3 pagi.

Tema untuk majlis kami ialah ungu selari dengan tema warna baju raya kami sekeluarga untuk tahun ini. Jadi mudah untuk tetamu mengecam kami sekeluarga yang berpakaian sedondon. Program pada pagi tersebut dimulakan dengan majlis khatam hafazan Al-Quran, diikuti dengan majlis tahlil dan doa selamat. Sememangnya kami sudah berjanji dengan Kakak untuk membuat majlis khatam bila dia selesai menghafaz Al-Quran pada April 2010, tetapi hajat tersebut asyik tertunda kerana berbagai masalah. Terimakasih pada Tok Mami dan Aunty Pah yang sudi ’sponsor’ pelamin mini untuk Kakak dan pada yang menyumbang berbagai jenis juadah. Terimakasih juga pada Nurginias Katering yang menyediakan makanan yang enak untuk tetamu kami. Syukur Alhamdulillah majlis berjalan lancar walaupun hujan lebat turun dipertengahan majlis. Kami sangat berbesar hati dengan kehadiran rakan2, jiran2 dan saudara mara ke majlis kami terutama pada mereka yang datang all the way dari Kota Bharu, Machang, Bukit Mertajam dan Seremban. Terimakasih jua atas sumbangan dan hadiah buat Dini, hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas.

Bersama Ustazah di Bukit Indah
Majlis di Bukit Indah
Mini Pelamin sponsored by Tok Mami and Aunty Pah
Khatam Hafazan Quran 
Bersalaman sambil Berselawat
Khemah Purple
Keesokkan harinya, kami sibuk berkemas dan Dini pula sibuk membuat persiapan terakhir. Oleh kerana had yang dibenarkan oleh Kuwait Airways hanya sebanyak 30 kilo, kami cuba mengemas barang2 yang perlu dibawa agar tidak melebihi had yang ditetapkan. Tapi biasalah, dengan seribu satu macam perkara yang telah dibeli dan dipikirkan perlu, akhirnya kami tekad mengizinkan Kakak membawa lebih dan sanggup membayar sekiranya perlu. Kami bertolak ke KLIA selepas solat isya’ kerana Dini perlu berada di airport pada jam 10 malam. Kami bernasib baik kerana Medicmesir membuat group check in dan kami tidak dikenakan apa2 bayaran untuk beg Dini yang melebihi had lebih kurang 10kg.

Akhirnya pada jam 1 pagi, Dini meninggalkan kami setelah mengucapkan selamat tinggal pada semua yang datang menghantarnya di KLIA pada malam tersebut, Tok Abah, Tok Wan dan Tok, Pak Ngah sekeluarga, Pak Lang, Pak Teh dan Tok Jae. Sedih melihat Kakak yang tidak dapat menahan airmata ketika dipeluk Abah, Abang, Adik dan Nenek. Ramai yang menyangka Ibu akan menitiskan airmata ketika melepaskan Kakak pergi. Alhamdulillah, Ibu sudah bersedia menghadapi saat itu dan dapat menahan airmata kerana tidak mahu Kakak terlalu bersedih meninggalkan kami. Dini meninggalkan sebuah kad untuk kami yang tertulis perkataan "Thanks" dan kami hanya membaca dalam perjalanan pulang dari KLIA. Ketika itulah baru terasa sayu mengenangkan Kakak yang masih mentah bermusafir jauh dari kami demi mencari ilmu dan pengalaman di negara orang.  Harapan kami agar Kakak tidak mensia2kan peluang berhijrah buat seketika di bumi anbiya' dan menfaatkan sepenuhnya waktu yang terluang untuk mencari ilmu2 akhirat. 

Kami hanya mampu berdoa agar Allah swt memelihara dan melindungi Kakak di sana. Jagalah diri dan sentiasa mohon pertolongan dari Allah swt di saat senang dan susah, seperti Firman Allah swt:

Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal." (Surah Al-Imran 3:160)












No comments:


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5