Wednesday, October 5, 2011

Syawal yang Pilu...Al-Fatihah

Cerita Syawal kami masih belum berakhir. Setelah cuti raya berakhir, Abah kembali bekerja dan Kakak, Abang dan Adik kembali bersekolah seperti biasa. Ibu masih bercuti seminggu lagi kerana terpaksa menghabiskan 10 hari cuti tahunan secara berterusan (block leave). Ibu hanya kembali bekerja pada hari raya ke 14.

Hujung minggu sebelumnya, pada hari Sabtu, 12 Syawal, kami dikejutkan dengan berita kematian Tok Andak, biras Tok Gombak yang menghidap kanser paru2. Kami masih ingat akan ziarah kami ke rumah Tok Andak di Lembah Keramat pada raya yang lepas dan Tok Andak masih sihat dan ceria. Kami sempat menziarah aruah sebelum dia dikebumikan pada petang harinya.

Tiga hari selepas kematian Tok Andak, iaitu pada tanggal 13 September 2011 / 14 Syawal 1432H kami dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati, Tok Gombak akhirnya meninggalkan kami buat selama2nya diusia menjangkau 90 tahun. Kami langsung tidak menyangka Tok akan menyusul Tok Andak secepat itu. Tok langsung tidak menunjukkan tanda2 akan pergi meninggalkan kami. Dia hanya demam dari hari Sabtu dan tidak dapat menziarah Aruah Tok Andak. Hanya pada hari Isnin, demamnya semakin teruk dan kami sepakat membawa Tok ke Pusrawi. Ibu, Meer, Tok Onn dan Tok Tot menghantar Tok ke hospital dan Tok terus dibawa ke wad kecemasan untuk diberi drip dan diambil darah. Setelah beberapa jam, kami dimaklumkan mengenai hasil ujian darah dan diberitahu bahawa Tok mengidap demam denggi. Platelet count agak rendah dalam 55 dan gula dalam darah pada paras 8.5. Sambil menunggu untuk dihantar ke wad, kami berbual dengan Tok dan dia kelihatan ceria walaupun itu pertama kali Tok dimasukkan ke hospital selama hidupnya.

Tok ditempatkan di wad As'Saadah, bilik No 9, tingkat 4. Lin, Nisam, Acap, Shasha, Tok Papa, Ira, Tok dan Tok Wan sempat menziarah Tok semasa di wad. Za tinggal di hospital menemani Tok pada malamnya. Keesokkan pagi Chop, Haz dan Tok Mamie sempat melawat Tok dan berbual dengannya sebelum doktor datang membuat pemeriksaan lanjut. Pada pukul 12.26pm, Ibu mendapat panggilan dari Pusrawi memaklumkan bahawa Tok sedang nazak dan meminta Ibu datang ke hospital segera. Ibu bergegas ke hospital tetapi takdir telah menentukan yang Tok pergi hanya beberapa minit setelah Ibu sampai, tepat pada jam 12.47pm. Allah swt sahaja yang tahu betapa sedih dan kecewa Ibu kerana tidak sempat berjumpa dengan Tok buat kali terakhir. Ibu memang berhajat untuk ke hospital pada waktu makan tengahari untuk membawa bubur trigu. Hajat Tok untuk menjamah bubur kegemarannya yang dimasak Nenek tidak kesampaian.


Doktor yang memeriksa Tok juga tidak menyangka sama sekali Tok akan pergi secepat itu kerana hanya beberapa minit sebelum Tok menghembuskan nafas yang terakhir, dia nampak sihat dan bersedia untuk ke bilik x-ray untuk pemeriksaan. Hanya Za yang ada disisi Tok ketika Tok mengucapkan dua kalimah syahadah. Alhamdulillah adalah perkataan terakhir yang diucapkan oleh Tok sebelum melelapkan matanya. Innalillahi wainnailaihirojiun. Alhamdulillah, Tok pergi dengan aman dan tenteram. Wajahnya tidak ubah seperti seorang yang tidur dengan lena dan tenang sekali.

Berat rasanya melepaskan Tok pergi, hanya airmata dan doa yang tak putus2 mengiringi pemergiannya. Kami terharu dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Pusrawi. Semasa Tok sedang nazak, hampir kesemua staff yang bertugas bergegas ke bilik Tok membacakan surah Yassin dan setelah Tok pergi, merekalah yang menenangkan kami untuk redha dan menerima ketentuan dari Allah swt. Kami mula memaklumkan semua mengenai kematian Tok dan semua bagai tidak percaya mendengar khabar tersebut. Kakak, Abang dan Adik terkejut apabila Abah menyampaikan berita mengenai Tok. Abang dan Adik sempat menatap wajah Nyang buat kali terakhir tetapi Kakak tidak berkesempatan kerana tiba dari MTS keesokkan harinya.

Setelah agak tenang, kami berbincang untuk menguruskan jenazah dan Tok Wan mengambil keputusan agar jenazah Tok dimandikan di Pusrawi dan dibawa balik ke rumah untuk disolat. Tok Wan dan Tok bergegas balik ke Gombak untuk menguruskan rumah bagi menerima tetamu yang datang menziarah. Ibu, Haz, Lin dan Tok Nana berpeluang memandikan jenazah Tok, Alhamdulillah. Setelah selesai, jenazah Tok akhirnya dibawa balik kerumahnya buat kali terakhir dan disolatkan. Tok dikebumikan di tanah perkuburan Danau Kota dimana Arwah Aunty Munah dan Uncle Ipin disemadikan. Segalanya berlaku dengan pantas, kami meninggalkan tanah perkuburan jam 6.30 petang setelah selesai pengkebumian dengan hati yang berat.







Terasa bagai mimpi, dalam sekelip mata dan tidak terduga, Tok telah pergi buat selama2nya. Pada malamnya, kami menerima kunjungan yang tak henti2 dari saudara mara dan rakan taulan, mereka yang mengenalinya selama hidupnya yang datang menghadiri tahlil. Hari2 berikutnya, kami masih terus mengadakan tahlil.

Kesedihan kami tidak berhenti di sini. Genap seminggu pemergian Tok, kami menerima berita kematian sepupu Tok, Mak Nab di Lahar Minyak, Pulau Pinang. Mak Nab cedera parah dalam kemalangan di Sg Bakap bersama anak, menantu dan cucu dalam perjalanan pulang dari Gombak setelah menziarah Tok. Mereka tiba agak lewat lebih kurang pukul 10 malam kerana perjalanan yang jauh. Walaupun kami cuba menahan mereka dari balik dan tidur saja di rumah Tok, mereka bersungguh2 ingin balik kerana cucu Mak Nab sedang menduduki peperiksaan UPSR.

Mereka akhirnya bertolak balik pada jam 1.30 pagi. Keesokkan harinya, kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang berlaku jam 4.30 pagi di Sungai Bakap. Kemalangan berpunca dari sebuah kereta savy berwarna hitam yang terbabas ditengah2 lebuhraya akibat lari dari dikejar polis. Oleh kerana kawasan tersebut gelap dan kereta pula berwarna hitam, anak Mak Nab tidak menyedari kehadiran kereta tersebut hingga ke saat akhir. Kesemua mereka mengalami kecederaan patah dan retak tulang. Bertambah kesedihan kami mengenangkan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga dan malang tak berbau apabila genap seminggu di hospital Seberang Jaya, Mak Nab menghembuskan nafas yang terakhir. Innalillah...hanya ucapan takziah dan doa yang dapat kami utuskan pada keluarga Arwah Mak Nab agar tabah dan redha menerima dugaan dari Allah swt.

Sesungguhnya, inilah Syawal yang Pilu buat kami. Firman Allah di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 35:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. Al-Fatihah buat Arwah Tok, Tok Andak dan Mak Nab, semoga roh2 mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan roh2 para solihin.

2 comments:

Uncle said...

Salam.

Takziah pada DADAIQ sekeluarga. Uncle cuma bernasib baik sempat berjumpa TOK semasa di Mekah dulu. To the rest, take care!

DadaIQ said...

Thank you Uncle.

We truly have to thank YOU for all the assistance rendered to us when we were in Al Safwah. Thank you for giving her the best room and the most memorable stay in tanah suci. We shall never forget that trip.

Salam,


Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5