Monday, April 25, 2011

Suka Makan Ikan Sungai?

Sudah lama kami perasan kewujudan Restoran Ikan Sungai. Ia terletak di Desa Melawati bersebelahan MRR2, jalan yang kami tempoh hampir setiap hari untuk ke pejabat atau menghala ke Ampang. Walaupun sudah agak lama restoran ini dibuka iaitu pada akhir tahun 2008, kami tidak berkesempatan untuk mencuba. Kami ada cuba terbaca mengenai restoran ini di dalam majalah Saji keluaran Febuari 2010.

Akhirnya, pada 24 April 2011 setelah Adik selesai Hari Ihtifal, kami ke sana untuk makan tengahari. Kami disambut oleh Chef Hishammudin, mungkin kerana kami pengunjung pertama untuk hari tersebut. Menu restoran ini memang di luar jangkaan. Bermacam spesis ikan sungai terdapat disini termasuklah ikan kegemaran kami sekeluarga iaitu ikan kelah. Biasanya kami akan ke Kuala Berang untuk menikmati masakan ikan kelah, sekarang kami boleh menikmatinya pada bila2 masa. Restoran ini diusahakan oleh tiga beradik chef yang pakar mengenai ikan sungai hasil dari ilmu yang diturunkan oleh ayah mereka yang mengusahakan kedai makan ikan patin di temerloh semenjak 1976.

Kita boleh memilih mana2 ikan yang kita suka seperti kelah, patin, jelawat, baung, sebarau, lampam, kerai, tengalan, temoleh, toman, lais, tapah atau belida, untuk dimasak samada gulai masak asam, gulai lemak cili api, gulai masak tempoyak, goreng panas atau bakar kunyit. Oleh kerana ikan sungai ini liar dan bukan yang dibela di dalam sangkar, permintaan bergantung kepada bekalan yang diperolehi dari peraih dari Perak dan Pahang. Setelah membuat pilihan, chef akan menunjukkan dulu pada pelanggan ikan yang ditimbang beserta harga kerana harga ikan2 ini dikira mengikuti berat, dari RM10.00 hingga ke RM95.00 untuk setiap 100gm. Setelah mencapai kata sepakat, barulah ikan tersebut dimasak mengikut citarasa pelanggan. Restoran ini menghidangkan makanan secara a la carte dan mengambil masa untuk disediakan bergantung kepada ramainya pelanggan pada satu2 masa.


Restoran ini juga menghidangkan lain2 masakan kampung seperti masak asam batang keladi, pucuk ubi masak tempoyak, gulai lemak rebung/kulat sisir/nangka, sambal janda kaya, sambal tumis petai, ikan pekasam dan sepat goreng. Pilihan sayur pula terdapat kangkung goreng, sayur campur dan ulam2 serta sambal. Tak pastilah pulak sambal janda kaya ini macamana rasanya :-) Restoran ini ada menyediakan pencuci mulut seperti tapai, ais krim dan buahan2an. Ada kalanya, mereka membuat promosi hidangan lain2 seperti sup tulang, ayam goreng kampung dan lain2 masakan kampung.


Kami sempat berbual dengan Chef Hishammudin mengenai ikan2 sungai yang dijual kerana Abah memang pakar ikan sungai walaupun hanya makan ikan kelah, kerai dan gurami. Kami pula peminat ikan kelah, keli dan patin. Tiap2 kali kakak balik bercuti, nenek pasti memasak makanan kegemarannya ikan patin masak tempoyak dan ikan keli goreng cili. Kali ini kami mencuba ikan kelah masak tempoyak, kangkung goreng serta sambal dan ulam. Memang sedap dan menyelerakan walaupun pedasnya sampai ke telinga. Sekiranya berminat untuk mencuba, Restoran Ikan Sungai terletak di No. 9, Jalan 2.4C, Desa Melawati, 53100 dan untuk tempahan boleh menghubungi 03-41053192.













Tuesday, April 19, 2011

Sejenak bersama mereka @ Baitul Ehsan

Kami sekali lagi mengunjungi Rumah Baitul Ehsan pada tanggal 26 Mac 2011. Kali ini kami ke sana membantu sambil memeriahkan program motivasi dan ceramah penjagaan diri yang diatur terlebih awal oleh SK85 Rynne. Kami sangat bertuah kerana berpeluang menjemput Dr Sharifah Mazlina Syed Abd Kadir, muslimah Malaysia pertama yang berjaya menakluk Kutub Utara pada Julai 2007 dan Kutub Selatan pada November 2004 . Beliau hadir diiringi oleh SK72 Kak Mek, Bekas Presiden Srikandi Tun Fatimah yang juga membantu Dr Sharifah dalam merealisasikan Ekspedisi Permata Greenland 2012.


Kami tiba pada jam 10 pagi dan Dr Sharifah Mazlina sudah pun mula memberi penerangan kepada anak2 mengenai pengalaman beliau menerokai kutub. Beliau masih sudi meluangkan masa bersama anak2 di Baitul Ehsan walaupun terpaksa berkejar untuk bersiaran secara langsung di Al-Hijrah pada pukul 12 tengahari. Pencapaian beliau sememangnya hebat dan bukan suatu perkara yang mudah kerana banyak rintangan dan halangan dan memerlukan "survival skills" yang sangat tinggi. Walau apa pun yang dikaitkan dengan pengembaraan solo Dr Sharifah Mazlina ke kutub utara dan selantan, apa yang telah beliau lakukan adalah sesuatu yang sukar dicapai dan kita perlu berbangga dengan kejayaan beliau. Anak2 Baitul Ehsan begitu teruja mendengar cerita Dr Sharifah Mazlina dan semoga pengalaman dan kejayaan beliau memberi motivasi and inspirasi kepada anak2 Baitul Ehsan untuk melakukan sesuatu yang hebat untuk diri mereka, agama dan bangsa.


Dr Sharifah Mazlina berkongsi pengalaman


Anak2 perempuan khusyuk mendengar




Anak2 lelaki dan Ustaz mendengar cerita
Bergambar beramai2

Umi, anak2 dan Dr Sharifah Mazlina



Setelah selesai bergambar dan mengambil tandatangan Dr Sharifah Mazlina sebagai kenang-kenangan, anak2 Baitul Ehsan menjamu selera dengan masakan Aunty Rynne, iaitu nasi minyak, ayam masak merah, daging kurma dan acar. Setelah selesai menjamu selera dan sementara menunggu kedatangan seorang lagi srikandi, SK86 Dr Siti Aishah, Aunty Along dan Aunty Bj melayan anak2 Baitul Ehsan dengan berbagai "ad-hoc" aktiviti. Memang seronok melayan kerenah anak2 di sini dan mereka pun sporting2 belaka. Sambil itu, kami mengambil peluang berbincang dengan Umi dan Ustaz program2 yang boleh kami, SK85 anjurkan di masa akan datang. InsyaAllah, kami akan cuba meluangkan masa bersama anak2 ini dengan perbagai aktiviti2 yang boleh merangsangkan minda mereka dan menceriakan hari2 mereka.

Sesi mencungkil bakat

Aunty Along dan Aunty BJ melayan kerenah anak2

Anak2 perempuan makan di khemah yang disediakan

Makan tengahari yang enak, nasi minyak

Aktiviti seterusnya adalah ceramah kesihatan dan pentingnya menjaga kebersihan diri sendiri. Maklumlah, mereka tinggal beramai2 dan jika tidak menjaga kebersihan, macam2 penyakit boleh hinggap dan berjankit. Kami bertuah kerana "junior" kami di STF, SK86 Dr Siti Aishah sudi meluangkan masa untuk memberi ceramah mengenai penjagaan diri. Setelah selesai, kami menghadiahkan anak2 ini dengan barang2 penjagaan diri seperti tuala, syampu, deodorant, bedak, lotion, minyak rambut dan sebagainya. Setelah selesai majlis, kami mengambil peluang berbual bersama2 anak2 Baitul Ehsan dan melawat tempat tinggal mereka sebelum mengucapkan selamat tinggal. Alhamdulillah, semua yang dirancang berjalan lancar. Terimakasih kepada semua yang sudi meluangkan masa, tenaga dan sumbangan untuk anak2 di Baitul Ehsan.

Ceramah kesihatan oleh Dr Siti Aishah
Dr Siti Aishah, Srikandi Tun Fatimah
Sesi khas untuk anak2 perempuan

Barang2 penjagaan diri untuk anak2

Berbincang bersama Umi dan Ustaz
Rumah Baitul Ehsan, No. 45

Rumah Baitul Ehsan, No. 49

Tuesday, April 5, 2011

Berakhirnya Rehlah Haji 1431H

Rehlah Haji kami berakhir dengan lengkapnya ziarah kami di Kota Madinah selama 9 hari. Setelah lebih 43 hari bermukim di kedua-dua tanah haram, waktu untuk kami berangkat pulang ke tanah air akhirnya tiba juga. Walaupun berat rasanya untuk meninggalkan bumi barakah ini, tapi kami akur dek tanggungjawab yang menanti dan kerinduan pada anak2 dan keluarga.

Setelah selesai solat isya' dan ziarah wada' di Masjid Nabawi, kami bersiap untuk ke airport Madinah. Kami dijadualkan pulang pada pukul 7 pagi dan seawal 10 malam, kami sudah menurunkan bagasi ke lobi. Ibu sempat berjumpa dengan Haji Hiruddin, kawan lama Ibu di KUB. Abah sempat terlena sementara menunggu waktu berangkat dan Ibu pula terus berjaga takut2 kami terlanjak! Lebih kurang pukul 2 pagi, kami sudah pun menaiki bas. Proses clearance mengambil masa lebih kurang 2 jam dan kami akhirnya bertolak ke airport jam 4 pagi. Kami tidak mempunyai masalah lebihan muatan kerana semua jemaah telah bersetuju untuk membayar SDR50 untuk bagasi yang melebihi 30kg. Semua proses berjalan lancar dan kami akhirnya berlepas jam 7 pagi, alhamdulillah dengan pesawat Saudi Air SV5124.

Di dalam penerbangan, walaupun kami diminta untuk solat menghormati waktu dan bukan solat jama’ qasar zohor dan asar, kami masih menunaikan solat secara sempurna atas nasihat Abu Anas. Jadi kami bergilir2 menunaikan solat di mana2 bahagian pesawat yang sesuai termasuk di antara tempat duduk. Kami akhirnya tiba pada pukul 10 malam di KLIA. Seperti biasa, Tok, Tok Wan, Tok Abah, Tok Mama, Pak Su serta Abang dan Adik sedia menanti kepulangan kami beserta keluarga Pak Ngah dan Pak Lang. Kami hanya dapat bertemu dengan Kakak lewat beberapa hari setelah dia kembali dari MTS. Terubat akhirnya rindu pada anak2.



Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 11 malam dan makan malam kami sudah siap terhidang, berbagai jenis lauk pauk kegemaran kami yang dimasak khas oleh Nenek. Hari2 yang mendatang, kami sibuk melayan tetamu yang sudi datang menziarah kami di rumah. Ambil berkat orang balik haji kata mereka. Kami pula mengambil cuti sakit kerana masih belum sembuh dari batuk, selsema dan demam dan mengambil kesempatan untuk berehat di rumah bersama anak2.

Terimakasih yang tak terhingga kami ucapkan kepada Tok, Tok Wan, Tok Abah, Tok Mama, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Teh sekeluarga, Ustaz Fatihi yang bersusah payah menengokkan dan melayan kerenah anak2 kami semasa kami di tanah suci. Jutaan terimakasih pada Nenek, pembantu rumah kami yang setia menjaga anak2 kami dengan baik dan juga memastikan rumah kami selamat. Tak terbalas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan demi memastikan anak2 dan harta benda kami selamat.

Kami juga amat terharu dengan segala tunjuk ajar dan bimbingan dari Abu Anas Madani dan Abu Fatih Al Mubaraki yang sentiasa memastikan kami melakukan haji serta ibadah lain dengan sempurna dan tak jemu2 melayan kerenah kami. Kami amat berterimakasih kepada pihak pengurusan Ash-Har Travels & Tours, Ustaz Hj Shukri Abdul Rahman, Ustaz Fakhrulrazi Abdul Rahman, petugas2 Ash-Har terutama Hj Wardani, yang banyak membantu kami semasa di tanah suci dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Kami sangat terhutang budi, hanya Allah swt sajalah yang dapat membalasnya. Jazakumullahu Khairan.

Kami juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada khilaf di antara kami dan jemaah Ash-Har yang turut bersama-sama kami dari KT 81 dan KT 26. Maklum sajalah, kami seperti sebuah keluarga besar dan bersama-sama selama lebih 40 hari melalui rehlah yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Dewan makan di Darum Hane di tingkat R1 menjadi tempat kami berkumpul untuk menjamu selera dan menimba ilmu. Semoga kami semua dikurniakan haji yang mabrur, insyaAllah dan moga silatulrahim yang terjalin antara kami akan berterusan setelah kami kembali ke tanah air.













Alhamdulillah perjalanan kami yang bermula dari 1 November 2010 hingga 14 Disember 2011 berjalan lancar. Kami bermohon supaya Allah swt menerima and meredhai segala amalan kami dan mengampunkan dosa serta kesalahan kami samada sedar ataupun tidak dan mengurniakan kepada kami haji yang mabrur. Kami juga berharap agar sentiasa dilimpahi rahmat dan diberi taufik dan hidayah untuk untuk terus bermujahadah mencari redha Allah swt dan beristiqamah dalam amalan menuju taqwa.

Firman Allah swt QS. 5 - Al Maaidah : 35 : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوْآ إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (5- المائدة-35) “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah pada jalan-NYA agar kamu beruntung.

Semoga rehlah ini bukan yang terakhir buat kami ke Kota Makkah dan Kota Madinah dan kami berdoa agar Allah swt memberi kami peluang untuk kembali lagi ke sini, insyaAllah. Kami berharap agar coretan perjalanan haji bukan hanya sebagai kenangan tetapi panduan kepada bakal-bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun 1432H dan seterusnya. Segala yang baik adalah dari Allah swt dan segala kekurangan adalah dari diri kami sendiri, wallahualam.

Like TLG facebook @That Little Gerai in AU5