Semasa kami
bercuti di Fraser’s Hill bersama keluarga Tok Abah, Abah menerima panggilan dan
Thaqif ditawarkan ke Peringat untuk second intake. Alhamdulillah, kami
bersyukur kerana Allah swt memberi Thaqif peluang untuk meneruskan pengajian
dalam bidang tahfiz. Esoknya kami menerima satu lagi berita gembira. Thaqif
lulus temuduga di SBI. Agak sukar menembusi talian SBI kerana sentiasa engaged.
Kami diberitahu SBI menerima lebih kurang 800 permohonan, satu jumlah yang
besar untuk sekolah yang baru. Ianya satu perkembangan yang sangat positif,
sudah ramai ibubapa yang ingin menghantar anak2 mereka untuk belajar di sekolah
tahfiz integrasi.
Surat tawaran dari Al-Kauthar |
Surat tawaran dari SBI |
Kami masih
belum membuat keputusan muktamad samada menghantar Thaqif ke Al-Kauthar atau ke
SBI. Kedua2 sekolah mempunyai kelebihan dan kekurangan. Antara perkara yang kami
pertimbangkan adalah dari segi lokasi, kurikulum dan kemudahan infra. SBI boleh
menggunakan fasiliti di KUIS seperti masjid, dewan, tempat bersukan,
perpustakaan dan lain-lain. Asrama yang disediakan juga bukan seperti asrama di
sekolah berasrama penuh, tetapi lebih kepada kolej. Suasana ala kampus yang
ditawarkan kepada pelajar memberi kelebihan pada SBI. Walaupun Thaqif merupa
batch pertama dan pioneer untuk tingkatan satu, kami yakin SBI yang menjadi
sebahagian daripada KUIS dapat memberikan yang terbaik untuk Thaqif melalui
sistem pendidikan Islam yang menawarkan kurikulum niche Islam sebenar disamping
menjadikan masjid sebagai qalbu sekolah.
Al-Kauthar
juga sebuah sekolah yang tidak kurang hebat walaupun tidak tergolong dalam
kategori maahad kawalan yik, prestasinya semakin meningkat. Walaupun sekolah
ini ditubuhkan pada tahun 1963, hanya pada tahun 2007 ia memulakan aliran
tahfiz akademik dan pada tahun 2008 terpilih menjadi Sek Agama Bantuan Kerajaan
(SABK) yang menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat dan kurikulum Al Azhar Yik
masih dikekalkan. Tidak banyak maklumat yang kami perolehi mengenai Al- Kauthar
melalui internet kecuali blog sekolah yang sudah lama tidak dikemaskini. Prestasi
peperiksaan SMU dan PMRU juga agak baik. Tetapi kami kurang pasti dengan muqarrar
hafazan kerana seorang pelajar tingkatan satu yang kami tanya semasa Thaqif
sedang ditemuduga memberitahu bahawa dia sudah menghafaz 1.5 juzuk Quran dan seorang pelajar tingkatan empat yang
kami temui sudah menghafaz lebih kurang 12 juzuk.
Bagi kebanyakkan
sekolah tahfiz, biasanya muqarrar hafazan lebih kurang 5 hingga 7 juzuk setahun
supaya cukup 30 juzuk untuk 5 tahun. Kami juga tidak pasti bagaimana teknik
hafazan di SBI dan muqarrar yang ditentukan. Kami hanya diberitahu semasa
ditemuduga, terdapat sukatan untuk hafazan Al Quran. Kami berharap tahfiz di
SBI selaras dengan tahfiz di MTS dan IQKL di mana pelajar dapat menghabiskan 30
juzuk selama 5 tahun mereka di sana. Agak sukar sekiranya mereka tidak
menamatkan hafazan dalam masa 5 tahun kerana apabila mereka menyambung
pengajian di IPTA/IPTS atau mana2 institusi di luar negara, jadual dan fokus
sudah berbeza melainkan mereka menyambung pangajian di university di timur
tengah.
Kami bersyukur kerana Thaqif akhirnya mendapat dua tawaran. Sebenarnya Thaqif ada menerima satu lagi tawaran dari Sekolah Tinggi Islam As Sofa (Al Quran dan Hadith) di Sikamat, Seremban. Pada awalnya kami sangat berminat menghantar Thaqif di STIAS di Rembau. Kami telah pun membuat permohonan on-line dan diminta hadir untuk kursus Tafaqquh Din selama 5 hari 4 malam sebelum ditemuduga. Tetapi kami mendapat banyak feedback yang kurang positif mengenai pengasas Yayasan As Sofa dan setelah membuat research di internet, kami mengambil keputusan untuk tidak mengambil risiko dengan menghantar Thaqif ke sana. Dengan tidak disangka, kami menerima sms mengatakan Thaqif terpilih untuk ke STIAS, Sikamat dan namanya tersenarai di laman web As-Sofa. Yayasan As-Sofa mengambil ramai pelajar tingkatan 1. Di STIAS Rembau, seramai 140 orang dan di STIAS Sikamat lebih 800 orang. Jika dilihat dari jumlah pengambilan pelajar, Yayasan As-Sofa boleh dikira sebuah institusi yang hebat. Semoga isu yang ditimbulkan mengenai Yayasan ini dapat diselesaikan kerana ia sedikit sebanyak memberi impak kepada ibubapa yang ingin menghantar anak2 mereka belajar di sini. Terpulanglah kepada ibubapa membuat penilaian mereka sendiri apa yang terbaik untuk anak2 mereka.
Bukan mudah untuk mencari sebuah sekolah yang baik untuk anak sekiranya anak kita kurang cemerlang dalam UPSR. Kesemua sekolah tahfiz terutamanya tahfiz integrasi di bawah seliaan Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan tempat untuk pelajar yang mendapat 5A and Mumtaz. Maahad2 Kawalan di bawah Yayasan Islam Kelantan seperti Maahad Tahfiz Sains (MTS) berkembang pesat dengan cawangan2 yang tumbuh bagai cendawan di Tumpat, Kok Lanas dan Bachok. Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITST) di bawah kelolaan JAIS pun berkembang pesat bermula di Jugra, kemudian di Klang. Sekolah2 Tahfiz Integrasi swasta juga sudah menaikkan syarat pengambilan pelajar kepada yang mendapat 5A dan 4A. Jadi, masih adakah peluang untuk anak2 yang kurang cemerlang tetapi mempunyai minat yang mendapat untuk menghafaz Quran.
Kami berharap agar lebih banyak sekolah2 tahfiz integrasi seperi Al-Kauthar dan SBI yang memberi ruang dengan meletakkan syarat yang lebih rendah. Kita sendiri sedia maklum, perkembangan pelajar lelaki secara umum agak lambat berbanding pelajar perempuan tetapi prestasi mereka terus meningkat bila mereka di peringkat sekolah menengah. Justeru, mereka perlu diberi peluang kerana merekalah yang bakal memimpin negara dan dan menjadi ketua keluarga. Kami berharap agar Kerajaan lebih prihatin dan berbuat sesuatu bagi menampung permintaan yang tinggi untuk sekolah sebegini. Sekiranya MRSM boleh menyediakan MRSM Ulul Albab di Besut, Gemencheh, Kepala Batas kenapa Kementerian Pelajaran tidak menaik taraf SMKA kepada Sekolah Tahfiz Integrasi yang dapat melahirkan pemimpin masa depan yang mempunyai asas yang kuat di dalam pendidikan Islam, bersahsiah tinggi dan penghafaz Al-Quran. Dengan izin Allah swt, Malaysia dapat melahirkan seorang pemimpin dan ketua negara sehebat Dr Muhammad Morsi untuk mentadbir Malaysia suatu hari nanti.