
Pada hari Tok Mama menjalani pembedahan, iaitu pada 24 September 2011 kami hanya menghabiskan masa di KB. Kebetulan pada minggu itu, Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival BERTANI SATU IBADAH bertempat di Dataran Stadium Sultan Muhamad ke IV berhadapan dengan Perdana Specialist sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan 2011 yang bermula 21 September hingga 2 Oktober 2011. Tema tahun ini ‘Bertani Satu Ibadah Pemangkin Kecemerlangan Pertanian Kelantan’ dan diadakan dwitahunan.
Jadi kami mengambil peluang berkunjung ke tapak karnival untuk melihat apa yang dipamerkan disitu. Kami sungguh bertuah kerana TGNA baru sahaja selesai merasmikan karnival tersebut dan dia serta VIP lain dibawa melawat kawasan pameran. Kami pun mengambil kesempatan mengikut rombongan TGNA sambil mendengar penerangan yang diberikan sambil mengambil gambar TGNA dari jarak dekat.





















